Krisis Yaman di Hujung Pangkal

Krisis kemanusiaan di Yaman boleh dikategorikan sebagai salah satu krisis terburuk yang berlaku di dunia, berdasarkan laporan European Union yang menggesa perlindungan sepenuhnya terhadap negara itu yang kian diancam kemusnahan.

 

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan bahawa lebih 3 juta penduduk terkesan akibat peperangan yang berlaku, diikuti dengan ancaman ekonomi yang kian merosot, kebuluran yang meletakkan sebanyak 22 juta penduduk dalam keadaan bahaya – sekitar tiga suku daripada populasi asal. Justeru, krisis kemanusiaan di Yaman hendaklah diberi perhatian.

 

Populasi itu bakal menghadapi krisis kebuluran

Penduduk di Yaman kebanyakannya menetap di kawasan barat, 100 batu dari laut. Sebelum perang saudara tercetus, Yaman bergantung sepenuhnya terhadap makanan yang diimport memandangan bekalan air untuk aktiviti pertanian terjejas. Sejak kes itu, sekatan laluan udara, air, dan darat telah mengakibatkan bekalan makanan terputus, termasuklah ubat-ubatan dan bahan bakar.

 

Terdapat juga kes bekalan makanan disekat di pelabuhan apabila sesetengah pihak bertindak untuk campur tangan akibat peperangan yang berlaku. Apatah lagi harga makanan meningkat secara mendadak sehingga penduduk Yaman tidak mampu untuk membelinya.

 

Keperluan kemanusiaan mendesak

Sebagai salah sebuah negara termiskin di tanah Arab, Yaman kini berhadapan dengan kemelesetan ekonomi setelah peperangan berlaku. Kekurangan bahan bakar pula mengganggu operasi semasa di loji air kumbahan sekaligus mengakibatkan wabak taun. Kekurangan sumber pendapatan serta bekalan ubat turut membawa kepada kemerosotan perkhidmatan kesihatan awam, dan hanya segelintir sahaja yang mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta. Malah, kekurangan vaksinasi turut mengakibatkat kematian dalam kalangan kanak-kanak.