Bantuan Sekolah Naikkan Semangat Belajar

Ayer Keroh, 21 Nov 2018 – 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan, Melaka menerima bantuan persekolahan menerusi program ‘Cheer to School’ (CTS) yang dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM).

 

Program CTS yang merupakan program tahunan IRM itu memberi manfaat serta persiapan rapi kepada pelajar sekolah untuk terus bersemangat mencari ilmu di alam persekolahan.

 

Guru bertugas di SK Limbongan, Norazia Abd Rahman berasa positif dengan program tersebut memandangkan ia meringankan beban ibu bapa untuk mencari keperluan sekolah.

 

“Program pembangunan seperti ini harus diteruskan untuk kita sama-sama berkongsi rezeki, berkongsi kebahagiaan, dan berkongsi amanah dari Allah SWT,” katanya ketika ditemui.

 

Salah seorang penerima manfaat, Nurjannah Kathal Maidin turut bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas.

 

“Hari ini saya dapat sumbangan dari IRM dan ia memberi kemudahan untuk saya belajar dengan lebih selesa,” jelasnya Nurjannah.

Antara keperluan sekolah yang disumbangkan adalah set pakaian sekolah, tudung, kasut sekolah, beg sekolah, stokin, dan juga alat tulis.