Bantuan Sekolah Naikkan Semangat Belajar

Ayer Keroh, 21 Nov 2018 – 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan, Melaka menerima bantuan persekolahan menerusi program ‘Cheer to School’ (CTS) yang dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM).

 

Program CTS yang merupakan program tahunan IRM itu memberi manfaat serta persiapan rapi kepada pelajar sekolah untuk terus bersemangat mencari ilmu di alam persekolahan.

 

Guru bertugas di SK Limbongan, Norazia Abd Rahman berasa positif dengan program tersebut memandangkan ia meringankan beban ibu bapa untuk mencari keperluan sekolah.

 

“Program pembangunan seperti ini harus diteruskan untuk kita sama-sama berkongsi rezeki, berkongsi kebahagiaan, dan berkongsi amanah dari Allah SWT,” katanya ketika ditemui.

 

Salah seorang penerima manfaat, Nurjannah Kathal Maidin turut bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas.

 

“Hari ini saya dapat sumbangan dari IRM dan ia memberi kemudahan untuk saya belajar dengan lebih selesa,” jelasnya Nurjannah.

Antara keperluan sekolah yang disumbangkan adalah set pakaian sekolah, tudung, kasut sekolah, beg sekolah, stokin, dan juga alat tulis.

Serangan Udara Di Hudaidah

Hudaidah, 19 Nov 2018 – Keganasan dan serangan udara telah dilaporkan berlaku di Hudaidah yang mengakibatkan kecederaan. Bagaimanapun, angka kecederaan masih belum diketahui.

 

Sebelum keganasan berlaku, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan sebanyak 193 kematian susulan konflik yang melanda di Hudaidah antara 13 Jun dan 22 Oktober tahun ini.

 

Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM) juga mendaftarkan sebanyak 75,840 buah keluarga terkesan di Wilayah Hudaidah yang meliputi pelbagai lokasi antara 1 Jun dan 6 November.

 

Islamic Relief (IR) Yaman kini mengagihkan bantuan kepada Pelarian Dalam Negara (IDP) di Hudaidah menerusi agihan pek makanan, selimut, bakul makanan, serta peralatan dapur.

 

IR Yemen turut membantu 30 pusat kesihatan untuk meredakan kes malnutrisi kanak-kanak berumur di bawah lima tahun, dan wanita hamil serta menyusu di Hudaidah.

 

Galakan Dekati Golongan OKU

Serdang, 15 Nov 2018 – Masyarakat umum digalakkan untuk berusaha meningkatkan tahap kebersamaan dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ke arah Malaysia yang lebih mesra.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, masyarakat umum berperanan untuk meningkatkan tahap kebersamaan itu menerusi pembelajaran bahasa isyarat dan komunikasi dengan OKU.

 

“Mereka tidak memilih untuk dilahirkan sebagai OKU namun ia menjadi asbab dan peluang kepada kita untuk terus mengupayakan mereka melalui pembelajaran bahasa isyarat. Selain itu, perkongsian pengetahuan dan perniagaan juga adalah unsur untuk mendekatkan diri dengan mereka.

 

“Saya juga percaya dengan istilah pengupayaan dalam melahirkan OKU yang berjaya kerana mereka bukanlah tidak berupaya namun mempunyai kemahiran yang berbeza,” katanya ketika berucap.

 

Beliau berkata demikian dalam Program Inklusiviti Bersama Masyarakat, Kami Berbeza Kami Insan Luar Berbeza anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU untuk mengetengahkan bakat dan keupayaan untuk hidup secara normal.

 

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah simulasi bahasa isyarat, simulasi penggunaan Braille, pameran hasil seni OKU iaitu lukisan dan kraftangan, dan sesi bual bicara bersama insan-insan luar biasa.

 

Zairulshahfuddin turut menegaskan sebagai institusi kemanusiaan, kita tidak sepatutnya berasa lelah dalam menyantuni golongan ini kerana ia adalah kerja-kerja mulia yang perlu diteruskan dalam menyedarkan masyarakat umum bahawa kehadiran mereka sebenarnya masih dipeduli.

 

Mengulas lanjut, IRM bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan UPM dalam usaha mengupayakan golongan kurang bernasib baik.

7 Rakyat Palestin terkorban

Gaza, 14 Nov 2018 – Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dan 10 lagi tercedera dalam serangan tentera di Khanyounnes, Selatan Gaza.

 

Serangan tersebut turut memusnahkan sekitar 100 buah rumah akibat pengeboman yang juga menjejaskan lapan buah lokasi.

 

Islamic Relief (IR) Palestin kini meneruskan usaha mengagihkan bekalan ubat-ubatan, sejak “Great March of Return” yang berlaku Mac lalu.

 

IR Palestin juga mengagihkan pek makanan kepada 4,700 individu sebagai bantuan kemanusiaan.

Memperingati Pengorbanan Sukarelawan Kemanusiaan

Bagi memperingati jasa para sukarelawan kemanusiaan, sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia diraikan setiap tahun pada 19 ogos dalam mengenang jasa mereka yang terkorban ketika berada di lapangan di negara miskin dunia yang merupakan tempat berbahaya serta dipenuhi dengan pelbagai krisis.

 

Sejarah buruk itu berlaku pada 19 Ogos 2003, iaitu insiden peperangan yang mengakibatkan kemusnahan Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Baghdad sekaligus mengorbankan 22 nyawa termasuklah Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB dan Pemimpin Misi PBB di Iraq, Sergio De Mello.

 

Apa yang ingin ditekankan ialah selepas insiden itu berlaku, sukarelawan kemanusiaan masih lagi berhadapan dengan pelbagai risiko dalam misi bantuan kemanusiaan. Oleh itu, Hari Kemanusiaan Sedunia diiktiraf sebagai penanda pada masa akan datang di mana jutaan manusia tidak bersalah masih memerlukan bantuan seperti perlindungan, makanan, dan barangan bukan makanan yang merupakan natijah daripada beberapa isu, sama ada perbalahan politik atau bencana alam.

 

Situasi kecemasan sering menyebabkan perubahan mendadak kepada mereka yang hidup dalam keadaan terancam, dan bilangannya pula kian meningkat saban hari. Mereka adalah golongan terpinggir yang menetap di negara miskin. Atas alasan itu, tanggungjawab untuk membantu jatuh kepada sukarelawan kemanusiaan dan melibatkan kakitangan kesihatan dalam menyediakan bantuan jangka masa panjang apabila situasi kecemasan berlaku tanpa mendiskriminasikan sesuatu kaum.

 

Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berpendapat, “Kesihatan adalah hak manusia, dan serangan terhadap pusat kesihatan adalah pencerobohan hak.” Dalam erti kata lain, bantuan yang melibatkan nyawa perlu dilindungi bagi populasi yang terkesan tanpa diceroboh oleh apa jua bentuk keganasan.

 

Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil langkah proaktif untuk menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia sebagai tanda untuk memperingati pengorbanan setiap sukarelawan pada masa yang lalu dan hadapan sentiasa membahayakan nyawa dan keselamatan mereka demi membantu mereka yang memerlukan. Fokusnya adalah untuk menggalakkan lebih ramai sukarelawan untuk membantu penerima manfaat.

 

Menariknya, aktiviti itu turut melibatkan selebriti tempatan di Malaysia sebagai batu loncatan untuk mereka merasakan pengalaman secara langsung sekaligus dapat berkongsi pengalaman itu dengan orang ramai. Irma Hasmie bersama pasanganya Redza Syah Azmeer yang merupakan Ikon Kemanusiaan IRM percaya bahawa aktiviti itu adalah inisiatif yang baik oleh IRM memandangkan ia memberi pendedahan kepada anaknya untuk melihat situasi sebenar menerusi pemerhatian terhadap sukarelawan.

 

“Atas dasar kemanusiaan, tak perlulah kita persoalkan siapa yang kita tolong dan siapa mereka dari segi bangsa dan agama. Jadi sempena Hari Kemanusiaan Sedunia ini, kita tidak boleh membezakan taraf manusia itu sendiri,” kata Irma ketika ditemui.

 

Seperti yang dititikberatkan oleh Setiausaha PBB, Antonio Guterres, Hari Kemanusiaan Sedunia merupakah peluang untuk kita menunjukkan solidariti untuk mereka yang terkesan dengan konflik, krisis, atau bencana alam.

Komunikasi Efektif dengan OKU

Manusia berkomunikasi dengan pelbagai kaedah. Ada yang berkomunikasi melalui perbualan, dan ada juga yang berkomunikasi menggunakan teknologi baharu seperti telefon pintar. Melalui komunikasi, maklumat atau informasi dapat disalurkan kepada orang lain dengan lebih berkesan agar mereka mendapat mesejnya. Namun, sistem komunikasi tersebut terbatas buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Golongan OKU boleh dikategorikan kepada beberapa kelas iaitu visual, pendengaran, percakapan, dan cacat anggota badan. Setiap kategori ini mempunyai kaedah dan tatacara komunikasi berbeza ketika berbicara melainkan golongan cacat anggota yang mampu bercakap, melihat, dan mendengar seperti biasa.

 

Artikel ini akan berkongsi tips-tips dan tatacara komunikasi dengan beberapa kategori OKU.

  1. Kurang Upaya Penglihatan

Jika anda berjumpa dengan OKU visual, jadilah diri anda dan bawa perwatakan seperti orang biasa. Berikut adalah beberapa tips oleh Vision Australia yang boleh dijadikan panduan.

  • Perkenalkan diri anda seperti biasa. Mereka mungkin tidak kenal anda melalui suara.
  • Intonasi percakapan yang biasa tetapi jelas. Golongan buta tidak semestinya hilang pendengaran.
  • Gunakan bahasa harian namun elakkan perkataan seperti “lihat ini” atau “tengoklah” agar mereka tidak tersinggung.
  • Jika berada dalam kumpulan, perkenalkan setiap orang dengan jelas.
  • Jangan tinggalkan perbualan begitu sahaja, seeloknya beritahu terlebih dahulu.
  • Sekiranya anda menunjukkan arah, jelaskan secara terperinci seperti “Tingkap berada di sebelah kanan anda” berbanding dengan “Tingkap berada di situ”.

 

  1. Kurang Upaya Pendengaran

Bagi kategori ini, penglihatannya mungkin jelas dan mampu untuk melihat orang yang berkomunikasi dengannya namun pendengaran mereka menjadi batasan. Berikut adalah beberapa tatacara oleh Deaf-Hearing Communication Centre apabila berkomunikasi dengan mereka.

  • Elakkan menjerit dan bercakap terlampau kuat.
  • Elakkan percakapan berkumat-kamit.
  • Kurangkan ekspresi muka dan penekanan wajah ketika berbicara bagi mengelakkan salah faham.
  • Jika berkomunikasi secara lisan, elakkan bercakap terlampau laju atau terlampau perlahan.
  • Jika berkomunikasi secara tulisan, pastikan anda faham konteks sebelum menyampaikan.
  • Gambar dan lukisan mungkin boleh jadi alat pemudah.
  • Gunakan teknologi seperti penggunaan komputer, telefon pintar, dan emel.

 

  1. Kurang Upaya Percakapan

Kategori ini lain pula ceritanya. Kebolehan melihat dan mendengar mungkin dikurniakan namun mereka tidak mampu berkata-kata. Jika anda berkomunikasi dengan mereka, ikuti langkah berikut seperti yang dicadangkan oleh Health & Disability Commissioner.

  • Tenang dan cuba menjadi pendengar seandainya mereka ingin berkata-kata.
  • Jika anda ingin bertanya, ajukan soalan yang memerlukan jawapan ringkas seperti angguk dan geleng.
  • Cuba berkomunikasi melalui tulisan sekiranya anda tidak faham dengan mesej disampaikan.
  • Elakkan penekanan muka sekiranya anda tidak faham.
  • Elakkan berkata-kata jika mereka ingin berkomunikasi dengan anda.