Lebih 330 Keluarga Disantuni

Lubnan, 15 Jan 2019 – Lebih 330 keluarga di Lubnan disantuni menerusi bantuan kecemasan beberapa hari lalu ekoran jangkaan awal ribut yang bakal melanda di kawasan terbabit.

 

Susulan kejadian berkenaan, Islamic Relief (IR) Lubnan secara langsung bertindak di Lembah Bakaa selepas memperoleh dana kecemasan dan akses ke kawasan terlibat.

 

Berdasarkan analisis awal, 151 penempatan tidak rasmi terkesan dengan hujan lebat yang mengakibatkan 12 penempatan dilanda banjir sepenuhnya, dan 64 lagi separa banjir.

 

Sekurang-kurangnya 407 buah khemah musnah sekaligus menjejaskan lebih 2,000 pelarian. Angka ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

 

IR Lubnan kini bergerak seiring dengan NGO tempatan untuk melakukan penilaian di kawasan terbabit dan mengenalpasti kem-kem yang perlu diberi perhatian.

 

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian bersama organisasi lain juga turut bertindak dalam krisis itu. Bagaimanapun, kerja-kerja kemanusiaan masih dalam proses.

 

Transformasi Masyarakat Orang Asli

Masyarakat Orang Asli sudah sinonim dengan kehidupan di pedalaman dan jauh dari peradaban manusia di kawasan bandar mahupun kampung.

 

Sekitar dua tahun lalu, laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah menyatakan bahawa kadar kemiskinan yang melibatkan masyarakat Orang Asli adalah jauh lebih rendah, iaitu mencecah sehingga 70 peratus. Jika dikaji secara terperinci, tahap ekonomi Orang Asli masih berada dalam paras terendah berbanding dengan masyarakat lain yang ada di Malaysia.

 

Namun apakah penanda ukur yang menjadi faktor atas kekurangan mereka? Secara umumnya, kita tahu bahawa kehidupan masyarakat Orang Asli amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan kelompok manusia yang menjalani rutin harian tetap. Ekonomi Orang Asli bergantung kepada hasil hutan setiap hari demi sesuap nasi. Kebergantungan mereka terhadap hasil hutan juga sekaligus tidak melibatkan wang ringgit untuk proses jual beli.

 

Sebenarnya, persepsi masyarakat umum terhadap Orang Asli perlu diubahsuai. Masyarakat Orang Asli kini semakin terdedah dengan arus pemodenan negara tanpa melupakan budaya dan adat resam yang dijaga dengan rapi.

 

Tahap pendidikan Orang Asli juga kian berkembang dan penambahan pelajar juga turut meningkat dari semasa ke semasa. Dahulunya, ibu bapa Orang Asli mungkin memandang pendidikan itu sebagai satu bebanan dan tidak berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Walau bagaimanapun, pendidikan dalam kalangan Orang Asli juga telah diangkat bagi memartabatkan status sosial Orang Asli.

 

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Malaysia mempunyai sebuaah pelan tindakan pendidikan yang bertujuan untuk memberikan pendidikan secara am dari peringkat pra sekolah, rendah, menengah, serta tertiari. Secara asasnya, ia merupakan sistem perancangan yang melibatkan Orang Asli untuk memperoleh pendidikan dengan lebih berkesan.

 

Tahun ini sahaja, kerajaan pernah mengumumkan bahawa sebanyak 98 buah sekolah di Semenanjung Malaysia kini menempatkan 37,934 pelajar Orang Asli (Astro Awani). Ia turut disusuli dengan prasarana dan infrastruktur lengkap yang menarik minat para pelajar dalam kalangan Orang Asli untuk terus menuntut ilmu.

 

Secara holistiknya, masyarakat Orang Asli bukanlah golongan terpinggir seperti yang digembar-gemburkan oleh masyarakat umum. Kehidupan mereka mungkin terikat dengan budaya dan adat resam lama namun peluang seharusnya diberikan tanpa mengganggu rutin mereka. Selaras dengan pembangunan arus maju, badan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan dalam memperkasakan sosial status Orang Asli.

 

Menerusi Projek Pembangunan Komuniti, Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku NGO antarabangsa juga mengambil inisiatif untuk sentiasa meningkatkan sosial status komuniti ini dengan melibatkan mereka dalam program-program seperti Qurban Perdana, Kelas Asas Kewangan dan Keusahawanan, Projek Cendawan.

 

IRM ke Arah Dunia Kemanusiaan Bersepadu

Bangi, 2 Jan 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) mencorak langkah untuk terus membangunkan dunia kemanusiaan menerusi kempen Care 4 Hunger dalam usaha mengurangkan kadar kebuluran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, “Perancangan IRM yang akan datang adalah kita ingin meneruskan kempen Care 4 Hunger iaitu tema kita terhadap mereka yang berasa lapar.”

 

Tambahnya, mereka tidak meminta untuk menghadapi ujian itu namun kita bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu agar ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes kebuluran.

 

Selain kempen Care 4 Hunger, IRM akan meneruskan beberapa kempen utama yang lain seperti Cheer to School dan Kempen Rayuan Musim Sejuk.

 

Terbaharu, Zairulshahfuddin turut berkesempatan untuk berkongsi dengan orang ramai bahawa kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS) 2.0 bakal dijalankan.

Di Sebalik Rasa Lapar

Makanan boleh dikategorikan sebagai keperluan asas bagi setiap manusia di dunia. Ia mengandungi nutrisi penting dan juga vitamin yang diperlukan tubuh badan bagi proses tumbesaran. Sungguhpun demikian, jauh di pelosok dunia, masih ada golongan manusia yang kurang bernasib baik tidak mampu untuk merasai limpahan kemewahan rezeki yang kita ada hari ini. Dalam erti kata lain, mereka hidup dalam kelaparan.

 

Sebagai permulaan, kelaparan boleh didefinisikan sebagai tempoh masa sementara iaitu lapar disebabkan kekurangan makanan. Dalam sesetengah kes, ia boleh membawa maut sekiranya berpanjangan seperti yang dijelaskan oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan. Sementara itu, kebuluran dunia pula adalah kategori kes di peringkat global termasuklah ketidakselamatan makanan dan malnutrisi. Majlis Penyelidikan Kebangsaan turut menjelaskan ketidakselamatan makanan meliputi akses yang terhad bagi mendapatkan sumber makanan bersih dan selamat manakala malnutrisi pula merupakan pengambilan makanan yang kekurangan nutrisi penting.

 

Tahukah anda bahawa Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) melaporkan sebanyak 816 juta daripada 7.6 bilion penduduk dunia mengalami kebuluran kronik sejak dua tahun lalu? Senario ini menunjukkan lebih kurang 11 peratus daripada populasi manusia tidak mempunyai akses yang mencukupi bagi memenuhi keperluan nutrisi setiap hari.

 

Sebagai contoh, di Afrika Timur, Sudan Selatan, Kenya, Ethiopia, dan Somalia, seramai 22 juta penduduk amat terdesak untuk mendapatkan makanan. Daripada jumlah itu, sekitar 3.5 juta kanak-kanak pula mengalami malnutrisi yang melebihi paras kebuluran global. Di Kenya, seramai 700,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun mengalami krisis kebuluran yang kronik. Penduduk Ethiopia pula tertekan dengan wabak penyakit dan tahap keselamatan makanan yang meragukan. Sementara itu di Somalia, 440,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka disebabkan hasil ternakan yang kian merosot dan kekurangan bekalan air.

 

Jika kita kaji kes kebuluran ini dengan lebih terperinci, ia bukanlah disebabkan atau berpunca daripada satu faktor tertentu, malah ia melibatkan persekitaran lain sehingga menyebabkan penduduk-penduduk terpaksa menghadapinya. Di Selatan Sudan, ketidakstabilan ekonomi menjejaskan hasil ternakan sehingga mengakibatkan pasaran atau bahan mentah merosot dan meningkatkan harga barang-barang. Apa yang menyedihkan, keluarga-keluarga miskin tidak berkemampuan untuk mendapatkan sumber asas iaitu makanan yang seharusnya diberikan kepada anak-anak mereka. Akhirnya, mereka terpaksa meminta bantuan apabila bahan makanan sudah habis.

 

Perkembangan ekonomi sesebuah negara pula tidak semestinya mampu mengurangkan kadar kebuluran. Menurut World Vision, di salah sebuah negara timur tengah, meskipun ekonominya bertambah positif sejak beberapa tahun yang lalu, maklumat terkini menunjukkan bahawa 40 peratus kanak-kanak berumur bawah lima tahun boleh dikatakan kekurangan berat badan daripada paras normal. Ia sekaligus membuktikan bahawa mereka menghadapi masalah kekurangan zat.

 

Sebenarnya, tanggapan sedemikian sudah lama diramalkan sejak 2017 oleh Pengarah Assessment Capacities Projects, Lars Peter Nissen yang menjelaskan, “Jika 2017 tidak menampakkan sebarang perubahan, tahun berikutnya akan bertambah buruk: keganasan dan kes-kes berat akan menurun di Afghanistan, Congo, Libya, Ethiopia, Mali, Somalia, dan Syria tahun depan.”

 

Secara holistiknya, faktor kes kebuluran dunia tidak semata-mata bergantung kepada individu itu sendiri namun ia meliputi pelbagai cabaran dan isu-isu seperti konflik dalaman, polisi makanan dan penternakan yang berat, perubahan iklim dan cuaca, serta kemiskinan melampau di sesetengah kawasan. Seandainya konflik ini berterusan, peratusan kes kebuluran dunia mungkin akan meningkat semula.

Lebih 800 Buah Rumah Rosak

Banten, 26 Dis 2018 – Lebih 800 unit rumah mengalami kerosakan susulan kejadian tsunami yang melanda daerah Banten, Anyer, dan Lampung, Indonesia hari ahad yang lalu.

 

Menurut Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), jumlah kemusnahan yang direkodkan setakat petang 25 Disember 2018 melibatkan lebih 800 buah rumah, 73 hotel, 60 warung, dan 434 perahu.

 

Setakat ini, jumlah kematian meningkat kepada 429 orang sementara 1,485 lagi mengami kecederaan dan 154 masih tidak dijumpai.

 

Rakan kerjasama Islamic Relief (IR) Indonesia, Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) melaporkan beberapa keperluan kecemasan segera iaitu pek makanan, perlindungan, bantuan perubatan, dan barangan bukan makanan.

 

Sementara itu, IR Indonesia mengklasifikasikan situasi kecemasan itu di tahap yang sederhana. Bagaimanapun, ia mungkin bertambah serius memandangkan Gunung Krakatau masih lagi meletus di kawasan yang berhampiran.

 

Beberapa kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM) kini berada di lapangan untuk membantu IR Indonesia di kawasan yang terlibat.

222 Terkorban di Indonesia

Banten, 23 Dis 2018 – Sekurang-kurangnya 222 orang terkorban  selepas tsunami melanda Pantai Anyer dan Lampung, Indonesia sementara lebih 850 tercedera dan 28 lagi masih tidak dijumpai seperti yang dilaporkan oleh Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB).

 

Tiada amaran gempa bumi dikeluarkan yang mengakibatkan tsunami Selat Sunda dan Lautan Hindi. Namun, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika mengesahkan letusan Gunung Karakatau berkemungkinan telah menyebabkan tsunami.

 

Jalan-jalan di Serang dan Pandagelang mengalami kemusnahan ekoran tsunami yang berlaku di kawasan itu.

 

Situasi itu telah mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat di Banten apabila melihat ombak besar yang menghampiri kawasan mereka. Ribuan penduduk tempat menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

 

Kini, Islamic Relief (IR) Indonesia sedang bersiap sedia untuk menghantar pasukan keselamatan di lokasi terbabit. Pejabat IR di Banten akan dijadikan hub operasi.

 

IR akan sentiasa memerhati keadaan semasa dan mengumpul maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.