600,000 Pelarian Banjiri Barat Laut Syria

IDLIB, 4 September 2019– Sejak kejatuhan gencatan senjata pada 5 Ogos, beribu-ribu orang awam telah melarikan diri ke Utara Idlib. Lebih 600,000 pelarian telah direkodkan di barat laut Syria sejak awal bulan Mei.

Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan yang berlaku pada 28 dan 30 Ogos menyebabkan empat fasiliti rosak dan tiga lagi dijangka turut rosak.

PBB telah merekodkan lebih daripada 550 kematian orang awam sejak serangan bermula, termasuk 450 wanita dan kanak-kanak yang disahkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Kebanyakan orang yang melarikan diri telah berpindah ke dalam Daerah Pentadbiran Idleb, dengan jumlah yang lebih kecil bergerak ke utara wilayah Aleppo.

Sekurang-kurangnya 58 sekolah mengalami kerosakan atau terjejas akibat serangan udara sejak akhir April di kawasan itu, sementara kira-kira 100 sekolah telah digunakan sebagai tempat perlindungan pelarian.

Bantuan kemanusiaan amat diperlukan termasuk perlindungan, barang-barang kebersihan di dalam dan di luar kem, tepung gandum untuk menghasilkan roti, pek makanan, perkhidmatan penjagaan kesihatan trauma, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta pendidikan kecemasan.