Aktiviti kesukarelawanan, suburkan nilai empati dan kemanusiaan

KOTA KINABALU, 29 Januari 2022 – Galakan mengajak masyarakat khususnya generasi muda untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan perlu dipertingkatkan kerana ia memainkan peranan penting dalam melahirkan komuniti berempati juga prihatin akan nasib orang lain.

Justeru, pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) Myamal dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah telah menganjurkan program Malam Aspirasi Sukarelawan di Raia Hotel, Kota Kinabalu, Sabah bagi meraikan para sukarelawan yang banyak membantu dan menyokong usaha ketiga-tiga NGO terlibat dalam menyantuni penerima manfaat di Sabah.

Datuk Saifulzaman Sangul, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), yang juga merangkap penasihat pertubuhan Myamal berkata, program kesukarelawanan dan kemanusiaan yang dijalankan tidak hanya berperanan untuk menyantuni golongan memerlukan, malahan boleh menjadi platform untuk mewujudkan keharmonian antara semua bangsa dan suku kaum.

“Dunia kemanusiaan dan kesukarelawanan juga boleh mengeratkan kasih-sayang sesama manusia. Apabila kasih-sayang sudah terjalin, keamanan sejagat pasti bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Dari sudut penglibatan generasi muda pula, ia boleh menjadi medan untuk mereka mengukuhkan nilai kemanusiaan dan menonjolkan potensi diri sebagai persediaan menempuh alam kerjaya,” tambah Datuk Saifulzaman.

Turut hadir dalam program aspirasi sukarelawan ini ialah Datuk Jahid Jahim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Diana Amir.

“Memandangkan kerja-kerja kesukarelawanan bukan tugas mudah kerana menuntut pengorbanan masa, keluarga dan wang ringgit, namun percayalah dengan janji Allah. Kecil atau besar usaha yang kita lakukan dalam membantu insan-insan memerlukan semuanya Allah akan hitung sebagai saham akhirat kita kelak. Jadi, sama-samalah kita terus istiqamah dan ikhlas dalam melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa mengharap sebarang balasan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana keluarga saya sentiasa memahami dan menyokong minat saya untuk terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan. Saya sentiasa percaya, jika kita pasang niat baik untuk keluar membantu orang, pasti Allah akan jaga keluarga kita. Allah akan lindungi mereka yang kita sayang,” kata Diana Amir.

Tambah Diana, sama-samalah kita terus memberi galakan serta mesej positif kepada golongan muda untuk terlibat dalam dunia kesukarelawanan kerana merekalah penyambung legasi negara yang akan terus mempertahankan keamanan dan perpaduan Malaysia dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

Pelarian Syria berdepan ancaman hujan salji lebat dan banjir

SYRIA, 22 Januari 2022 – Sebanyak 22 pusat penempatan pelarian Syria di Afrin dan Azaz, Aleppo serta 9 lagi kawasan di Harim, Idleb dilaporkan terjejas ekoran hujan salji lebat yang melanda barat laut Syria pada 18 Januari lalu.

Kejadian itu turut mengakibatkan khemah serta barangan penghuni kem pelarian rosak.

Menurut penilaian kakitangan Islamic Relief, seramai 57,000 pelarian Syria dan 104 pusat penempatan mereka terjejas sejak awal Januari lalu.

Hujan lebat yang melanda Syria bermula sejak akhir Disember 2021, telah berlarutan sehingga pertengahan Januari 2022 di beberapa kawasan serta kem pelarian dalam negara (IDPs).

Antara keperluan utama yang mendesak ketika ini ialah bantuan tempat perlindungan, makanan dan kelengkapan musim sejuk.

Menurut ramalan kaji cuaca, hujan salji lebat dijangka akan berterusan dan dibimbangi bencana banjir akan melanda kebanyakan kem pelarian apabila salji mula cair.

Islamic Relief kini masih meneruskan edaran bantuan kelengkapan musim sejuk seperti alat pemanas iaitu pirina, plastik penebat haba, tilam dan bantuan perlindungan.

Setakat ini, lebih daripada 60,000 penerima manfaat di beberapa kem IDPs di barat laut Syria telah berjaya disantuni menerusi program bantuan musim sejuk.

Gempa Bumi 7.4 Magnitud Gegar Nusa Tenggara Timur, Indonesia

JAKARTA, 14 Disember 2021 – Gempa bumi dengan skala 7.4 magnitud melanda Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada jam 10.20 pagi waktu tempatan, kira-kira 11.20 pagi waktu Malaysia.

Pusat gempa dilaporkan terletak di bahagian timur Pulau Flores, iaitu sekitar 89 kilometer dari kawasan barat laut Larantuka.

Kejadian ini mengakibatkan bangunan, rumah, sekolah dan juga masjid di kepulauan Selayar di selatan Sulawesi runtuh dan rosak.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Amaran tsunami yang telah dikeluarkan oleh Agensi Meterologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah ditarik semula.

Islamic Relief Indonesia kini sedang memantau keadaan semasa dan bersiap sedia untuk membantu penduduk terjejas.

“Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja kebajikan.” – Dr Soo Wincci

“Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja kebajikan. Saya sangat berbesar hati kerana dilantik menjadi salah seorang Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

“Memang ada yang bertanya kepada saya, kenapa seorang yang telah bergelar ‘Miss Universe’ mahu menyertai Islamic Relief Malaysia dan melakukan kerja-kerja kebajikan, jawapan saya mudah. Tuhan sudah memberi pengalaman yang perit kepada saya dan saya dapat belajar macam-macam daripada ujian itu. Pengalaman itu juga telah mendorong saya untuk terlibat dalam kerja kebajikan dan bersama Islamic Relief Malaysia.

“Saya juga mula sedar bahawa selebriti bukan hanya hidup dalam dunia glamor sahaja, tetapi kita perlu lakukan sesuatu yang lebih bermanfaat,” kata Dr Soo Wincci.

Dr Soo Wincci merupakan salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang sangat komited untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.

Meskipun kini beliau berada jauh di Sepanyol bagi melanjutkan pengajiannya, Dr Soo Wincci tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir dalam sesi perkongsian yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus cakna dan prihatin akan isu kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Menurut Dr Soo Wincci, walau dimana pun kita berada, kerja kesukarelawanan tetap boleh dilakukan, dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu padu tanpa mengira sebarang bentuk perbezaan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Berbicara mengenai pandangannya terhadap konflik kemanusiaan yang melanda masyarakat global ketika ini, beliau berkata, setiap agama pastinya menggalakkan kita berbuat kebaikan dan berkasih sayang. Peperangan dan keganasan bukan jalan penyelesaian tepat bagi sesuatu masalah.

Beliau juga percaya Tuhan mahukan kita semua hidup secara aman damai tanpa pergaduhan, diskriminasi dan sebagainya.

“Dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan yang tertindas atau terpinggir, kita perlu sama-sama membantu tanpa mengira kaum, agama atau apa sahaja bentuk perbezaan. Kita boleh menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Berkongsi mesej positif juga dikira sebagai tanda sokongan kita dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan,” kata Dr Soo Wincci.

Krisis di Afghanistan semakin memburuk. Penduduk Afghanistan perlu bantuan segera

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 12 juta penduduk Afghanistan dilaporkan berdepan ancaman kelaparan pada tahap kritikal manakala 3.5 juta lagi menghampiri risiko kebuluran.

Ramai penduduk Afghanistan kini semakin tertekan dengan situasi semasa di mana bekalan makanan kian berkurangan sedangkan harga makanan melambung tinggi dan kadar pengangguran meningkat.

Dilaporkan, keadaan di kawasan luar bandar lebih buruk ekoran berlaku peningkatan angka kematian dan kes malnutrisi.

Rakyat Afghanistan kini terpaksa menghabiskan wang simpanan yang ada untuk membeli makanan selain berhutang dan mengemis di jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kami lihat, keadaan orang ramai semakin terdesak sehingga mereka terpaksa meminta sayur-sayuran yang sudah layu dan dan tidak lagi dijual daripada kedai-kedai berhampiran serta memetik bunga-bungaan untuk dijadikan sup.

“Mereka benar-benar berdepan kesukaran untuk menyediakan makanan buat keluarga. Ada yang terpaksa makan sekali sehari dan ada juga yang langsung tidak dapat menjamah apa-apa. Golongan wanita dan kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas.

“Kebiasaannya, kaum wanita akan mengutamakan keperluan ahli keluarga yang lain berbanding diri sendiri. Masalah kekurangan atau ketiadaan makanan ini boleh memudaratkan kesihatan ibu dan anak dalam jangka masa panjang.

“Sekiranya kerja-kerja penyaluran bantuan kemanusiaan bagi keperluan mendesak seperti makanan masih lagi tidak dapat dilaksanakan segera berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, golongan ibu di Afghanistan bakal diancam penyakit anemia manakala kanak-kanak pula berisiko menghadapi malnutrisi,” kata Mohammed Hamid Sattai.

Sebelum ini, sebahagian besar rakyat Afghanistan sememangnya sudah menderita kelaparan dan kemiskinan akibat kemarau, pergolakan dan pandemik COVID-19. Tahun ini dijangkakan, separuh daripada populasi kanak-kanak berumur bawah lima tahun berisiko diancam penyakit kekurangan zat makanan.

Dengarlah luahan dan rintihan rakyat Afghanistan

“Tanpa bantuan kemanusiaan, penduduk di kem pelarian ini akan terbiar sendirian. Musim sejuk yang menjelang pastinya menyukarkan lagi kehidupan kami yang sudah sedia sukar kerana kami tidak mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi, tempat tinggal, rawatan perubatan, dan juga kayu api untuk menghangatkan badan.

“Kebanyakan penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke kem ini hanya datang sehelai sepinggang selepas tersepit dalam kancah peperangan yang berlaku,” kata Ziba, pelarian di kem Arzan Qemat, Kabul.

Menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), di Kabul, hampir 50,000 penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke kawasan itu ekoran konflik yang melanda baru-baru ini kini terdesak untuk mendapatkan bantuan sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

Suhu di kawasan itu dikatakan boleh mencecah hampir 0 hingga negatif 25 darjah Celcius pada waktu malam ketika pertengahan musim sejuk. Keadaan ini boleh mengakibatkan risiko ancaman hipotermia bagi golongan yang tidur bergelandangan di luar.

“Kami sering berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan terpaksa tidur dengan perut kosong. Saya juga tidak dapat bersekolah kerana terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi membeli makanan dan menyara keluarga.

“Ayah saya lumpuh, ibu pula sudah tua. Adik perempuan saya berumur 14 tahun dan masih belajar di kelas enam. Dahulu, saya mempunyai dua orang abang yang bekerja sebagai tentera, namun mereka telah meninggal dunia kerana terbunuh dalam peperangan sewaktu bertugas.

“Setiap hari, kami terpaksa berjuang untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan. Apabila tiba musim sejuk, hidup kami menjadi lebih sukar kerana saya tidak dapat bekerja disebabkan hujan dan salji,” luah Sher Agha, remaja berusia 19 tahun yang tinggal di Kabul.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, sekurang-kurangnya 54.5 peratus penduduk di Afghanistan hidup di bawah paras kemiskinan berikutan tersepit dalam konflik kemanusiaan selama empat dekad.

Penduduk negara yang diberi jolokan “the graveyard of the empires” itu kini benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan serta sokongan dunia. Setiap hari, kehidupan mereka semakin kritikal sehingga mereka sendiri belum pasti adakah esok masih ada buat mereka dalam lapar dan dinginnya musim sejuk.

“Saya percaya, dalam apa jua agama dan kepercayaan yang kita pegang, semuanya menggalakkan kita untuk melakukan kebaikan kepada semua orang tanpa sebarang diskriminasi. Justeru, saya menyeru anda semua untuk sama-sama kita membantu rakyat Afghanistan mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.

“Untuk makluman, Islamic Relief Malaysia kini sedang giat menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu 272 keluarga terjejas di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria,” kata Dr Soo Wincci.

Kempen Rayuan Musim Sejuk yang dijalankan Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 3 November hingga 31 Disember ini.

Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.

Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 untuk Syria dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250 untuk Afghanistan.

Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.

“Kita perlukan sokongan semua pihak. Jika kita bersendirian, sukar untuk kita mencapai matlamat bagi membantu ramai orang. Semoga kita sama-sama dapat membantu sedaya upaya kita meskipun sekadar memberi kata-kata semangat, kerana ia mampu memberi makna besar buat seseorang,” kata Dr Soo Wincci.

“Tangan saya rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu. Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan mereka ketika musim sejuk.” – Irma Hasmie

Bercerita mengenai pengalamannya ketika mengikuti misi kemanusiaan bersama Islamic Relief Malaysia ke Gaziantep, sempadan Turki, Irma Hasmie mengakui dia tidak mampu bertahan jika terpaksa tinggal dan menjalani kehidupan pada musim sejuk di sana.

“Pengalaman saya sewaktu menyantuni pelarian Syria di Turki awal tahun lepas, saya memang tidak mampu menahan kesejukan tanpa alat pemanas.

“Saya masih ingat ketika kami menaiki bas untuk menziarahi penerima manfaat, bas yang kami naiki berhenti di kawasan pergunungan. Hanya dalam tempoh setengah jam sahaja berada di luar bas, tangan saya sudah mula rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu. Saya terus berlari untuk menaiki bas kembali.

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan pelarian Syria yang terpaksa menjalani kehidupan dalam musim sejuk mencengkam tanpa sebarang kelengkapan,” cerita Irma dalam sesi temubual di sebuah stesen radio tempatan.

Tambah Irma lagi, keadaan tersebut berlaku mungkin kerana dia tidak biasa dengan cuaca sejuk begitu memandangkan Malaysia beriklim khatulistiwa. Namun, pengalaman yang dilalui itu cukup untuk membuatkan dia merasai cabaran dan penderitaan penduduk Syria apabila tiba musim sejuk.

Tahun ini Syria telah memasuki angka satu dekad terperangkap dalam konflik. Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Krisis yang melanda mengakibatkan penduduk setempat berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, minyak dan bencana COVID-19 menambahkan lagi tekanan sedia ada.

“Penderitaan penduduk Syria tidak boleh kita lupakan. Kita perlu sama-sama membantu mereka sepertimana kita bersatu dalam membantu rakyat Palestin. Mereka semua saudara kita walaupun jauh di mata dan tidak pernah bersua muka.

“Musim sejuk yang mereka hadapi bukan sahaja ada salji tetapi keadaannya berangin dan juga ada ribut. Bayangkan jika struktur rumah yang kukuh pun boleh musnah apabila dilanda ribut salji, inikan pula khemah kanvas biasa.

“Menurut cerita salah seorang kakitangan Islamic Relief yang berkongsi pengalamannya bersama saya, ketika ribut salji melanda, kaum ibu akan memeluk erat anak-anak mereka manakala si ayah pula terpaksa berkorban keluar daripada khemah untuk memegang dan menahan khemah bagi menghalang ia terbang atau musnah dibawa ribut salji.

“Apa yang menyedihkan lagi, disebabkan ribut dan sejuk, ada ayah yang pengsan dan khemah mereka terbang dan musnah. Kelengkapan mereka basah. Anak-anak menggigil kesejukan. Akhirnya, mereka terpaksa menumpang di khemah orang lain. Tak dapat saya nak gambarkan betapa sukarnya survival mereka kerana jika ribut melanda pastinya bukan satu atau dua khemah sahaja yang musnah. Entah ke mana hala tuju mereka untuk menumpang berteduh,” kata Irma.

Hangatkan Musim Sejuk Mereka

Melihat realiti kesengsaraan yang dialami penduduk Syria, Islamic Relief Malaysia terus proaktif menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu mereka yang terjejas dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 1 November hingga 31 Disember ini.

Dana yang dikumpulkan menerusi tabung ini bakal memberi manfaat kepada 4,844 individu dengan pecahan 1,904 penerima manfaat yang terdiri daripada 272 keluarga di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria.

Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.

Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250.

Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.

Pengalaman menyantuni pelarian Syria di Turki mengajar Irma Hasmie erti cekal dan syukur

“Fitrah kanak-kanak memang suka bermain, namun peperangan yang melanda Syria telah merampas momen indah mereka. Bagi kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian, keadaan mereka sangat sukar dan serba kekurangan.

“Apabila musim salji, keinginan untuk bermain tetap ada. Dengan baju yang nipis, kadangkala tidak berstokin dan kasut, mereka tetap keluar dari khemah. Apabila salji cair, ada air bertakung, anak-anak ini akan bermain di kawasan lopak air tersebut. Kaki yang terendam dalam air sejuk tidak dihiraukan.

“Kesannya, ada yang menderita sakit melecur kulit atau ‘frostbite’ dan ada juga yang terkena serangan hipotermia. Realiti penderitaan yang mereka lalui ini boleh kita baca dan lihat sendiri menerusi laporan media,” kata Irma.

Tambah Irma lagi, selain di kem pelarian, penduduk Syria yang tinggal di negara-negara jiran seperti yang dia temui di Turki turut berdepan masalah kekurangan dan ketiadaan kelengkapan musim sejuk.

Kebanyakan daripada mereka adalah ibu tunggal. Kanak-kanak pula ada yang kehilangan bapa dan ada yang kehilangan kedua-dua orang tua sekaligus dalam peperangan yang melanda.

Meskipun kerajaan Turki membenarkan pelarian Syria untuk bekerja, namun mereka hanya boleh mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja buruh atau kerja-kerja sampingan dan bukan di bidang profesional.

Gaji yang mereka perolehi sedikit, namun dengan wang itulah mereka perlu membahagikan dengan sebaiknya untuk membayar sewa bilik, menanggung keperluan anak sekolah, menyediakan makanan, membayar kos rawatan dan lain-lain.

“Bilik yang mereka sewa untuk tinggal bersama anak-anak mereka sangat kecil. Bilik itulah yang digunakan untuk tidur, memasak, tempat anak-anak bermain dan belajar. Namun begitu, mereka tetap bersyukur dengan apa yang mereka ada. Itulah yang saya belajar daripada mereka.

“Kami pergi ke sana untuk membantu mereka dengan mengedarkan baucar belian keperluan musim sejuk tetapi sebenarnya saya merasakan mereka yang banyak membantu saya dari sudut ibrah dan pengisian rohani.

“Melihat kesabaran mereka dalam berdepan ujian membuatkan saya rasa benar-benar insaf. Kecekalan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup juga membuatkan saya sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang saya miliki selain menyuntik semangat saya untuk terus istiqamah membantu mereka dan terlibat dalam dunia kemanusiaan,” kata Irma.

Irma Hasmie, selaku salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia menyeru masyarakat Malaysia seluruhnya untuk sama-sama menyokong kempen Rayuan Musim Sejuk bersama Islamic Relief Malaysia dan menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada akaun Islamic Relief Malaysia iaitu 5621-4270-8704 (Maybank), 8602-0738-18 (CIMB Islamic) atau 1202-9010-0656-43 (Bank Islam) dengan kod rujukan iaitu Rayuan Musim Sejuk.

Maybank Islamic sumbang keperluan asas kepada golongan terjejas Covid-19

PONTIAN, 11 Disember 2021 – Seramai 100 buah keluarga daripada golongan asnaf termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan penduduk terjejas pandemik telah menerima bantuan pek makanan menerusi projek ‘Covid-19 Immediate Assistant’ tajaan Maybank Islamic di Kompleks Penghulu Mukim Rimba Terjun, Jalan Parit Sulong, Pontian, Johor.

Bantuan ini merupakan kesinambungan daripada agihan bantuan yang telah dimulakan sejak Oktober lalu.

Objektif program ini dijalankan tidak lain untuk meringankan beban golongan memerlukan selepas pasca pandemik.

“Keseluruhan penerima bantuan bagi projek ini adalah seramai 1,200 orang melibatkan negeri Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Terdapat 2 kaedah penyerahan bantuan yang digunapakai iaitu aplikasi perbankan mudah alih atau e-dompet terbaharu iaitu aplikasi MAE dan pek makanan,” kata Fa’azurah Kadir, Pengurus Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Setiap pek makanan mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, makanan dalam tin, gula, bihun dan biskut.

Menurut Irma Hasmie Ibrahim, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir dalam sesi agihan tersebut berkata, inisiatif yang dijalankan oleh Maybank Islamic dan Islamic Relief Malaysia ini wajar diteruskan lagi memandangkan para penerima yang terpilih sememangnya amat terjejas dari sudut kewangan dan pendapatan.