Islamic Relief bantu bina semula kehidupan rakyat Afghanistan

AFGHANISTAN, 3 Jun 2022 – Islamic Relief telah mengedarkan 60,670 kilogram biji benih, 28,225 kilogram baja serta 600 alatan pertanian kepada penduduk di kawasan Balkh, Bamiyan, Herat dan Nangarhar, Afghanistan Mei lalu menerusi projek kehidupan mampan.

Inisiatif ini merupakan serampang dua mata bagi membantu penduduk di negara bergolak itu menjana pendapatan dan menghasilkan sumber makanan sendiri.

Terdahulu, Islamic Relief turut menyerahkan 1,539 ekor kambing bersama 153.9 tan makanan haiwan tersebut dan 6,600 alatan pertanian kepada penerima manfaat terpilih untuk pelaksanaan projek yang sama.

Usaha dalam merangsang ekonomi penduduk setempat perlu terus giat dilaksanakan memandangkan harga makanan asas seperti bijirin, gandum dan minyak terus meningkat, dan isu kelaparan pula semakin kronik.

Menurut laporan analisis krisis makanan ‘akut’, hampir 20 juta rakyat Afghanistan menghadapi kiris Fasa 3 atau kekurangan makanan darurat Tahap 4, manakala 20,000 lagi dikesan berada dalam kelaparan Tahap 5.

Sejak Ogos 2021, Islamic Relief telah menjalankan intervensi melalui pengedaran 59,820 pek makanan, 2,630 alat penyimpanan air, 4,875 kit kebersihan, 7,617 keperluan musim sejuk dan 2,600 barangan bukan makanan kepada penduduk Afghanistan.

Bagi sektor kesihatan pula, Islamic Relief turut menyediakan kemudahan rawatan perubatan bagi pesakit psikososial, malnutrisi, mengedarkan kit keperluan asas bagi bayi yang baru lahir, kit pencegahan jangkitan Covid-19 dan sumbangan wang tunai untuk rawatan susulan.

Islamic Relief proactively delivering assistance in Afghanistan

AFGHANISTAN, 3rd June 2022 – Islamic Relief has distributed 60,670 kilograms of seeds, 28,225 kilograms of fertilizer, and 600 agricultural tools in Balkh, Bamiyan, Herat, and Nangarhar under the livelihood project in May 2022.

This assistance is to help the beneficiaries generate their income and produce their food sources.

Islamic Relief also provided 1,539 goats, 153.9 tonnes of fodder, and 6,600 agricultural tools as part of a livelihood project to support their economy.

It is also part of the solution to help them face staple market prices which continue to rise meanwhile the hunger issue becomes more chronic.

According to the Integrated Food Security Phase Classification (IPC), nearly 20 million people in Afghanistan are classified in crisis or emergency of food shortage phase 3 or 4, while another 20,000 people are in phase 5 starvation.

Since August 2021, Islamic Relief has distributed 59,820 food packs, 2,630 water storage kits, 4,875 hygiene kits, 7,617 winterization kits, and 2,600 non-food items in Afghanistan.

In addition, Islamic Relief also provide healthcare services for psychosocial and malnutrition, distributes newborn baby kits, Covid-19 infection prevention kits, and cash assistance for referral services.

#ShopeeGivesBack rai 200 keluarga B40 dengan sumbangan keperluan asas

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2022 – Sebanyak 200 keluarga dalam kategori B40 di Flat Sri Kota dan Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Kuala Lumpur telah menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Shopee menerusi projek Ramadan dan Raya Bersama #ShopeeGivesBack.

Inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial korporat daripada Shopee bersama ‘Shopee Supermarket’ bagi membantu meringankan beban golongan rentan selain ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk membeli-belah sambil beramal di platform jualan atas talian tersebut.

“Islamic Relief Malaysia sangat berbesar hati kerana terpilih sebagai salah satu rakan kerjasama juga NGO pelaksana untuk menjayakan program CSR Shopee ini. Kempen #ShopeeGivesBack mula dijalankan pada April lalu dengan menggunakan pendekatan jualan pakej-pakej barangan keperluan asas di platform Shopee.

“Antara pakej barangan yang ditawarkan oleh Shopee, dan yang telah berjaya kami edarkan kepada penerima manfaat hari ini ialah bijirin oat dan kepingan jagung, susu, biskut, mee segera, tisu, tuala wanita, pencuci pinggan dan pakaian serta banyak lagi,” kata Ahmad Nazmee Adnan, Pegawai Bahagian Penjanaan Dana, Islamic Relief Malaysia.

Rata-rata penerima manfaat yang ditemui sewaktu aktiviti edaran menzahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga atas sumbangan yang diberikan.

“Sekarang, bila beli barang dapur memang terasa sangat barang dah mahal, barang keperluan asas dah naik harga. Apa yang boleh dibuat hanyalah kita perlu menguruskan kewangan sendiri dengan baik dan perlu berjimat-cermat kerana walaupun susah tapi hidup perlu diteruskan,” kata Rahmah Yusof, penerima manfaat di Rumah Panjang Jalan Ikan Emas.

Dalam keadaan masyarakat dihantui dengan isu kenaikan harga barang, diharapkan usaha murni Shopee dan Islamic Relief Malaysia ini dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang ditanggung.

“Saya bukan penerima bantuan, tapi saya datang sebagai wakil penduduk untuk membantu sesi edaran bantuan hari ini. Apa yang saya lihat, program ini bagus kerana penduduk bukan Islam juga dapat bantuan yang sama. Anda semua sudah menunjukkan semangat sebagai warganegara Malaysia yang datang dari pelbagai kaum. Rakan-rakan saya dari bangsa Cina tadi semua rasa gembira kerana turut sama dapat bantuan,” kata Wong Miew Yin, penduduk Flat Sri Kota.

Ramadan kali ini, beri kegembiraan berganda buat Dr Soo Wincci

Seperti yang diketahui umum, Dr Soo Wincci pasti tidak akan terlepas untuk turut serta berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan sejak 12 tahun yang lalu.

Kali ini, kehadiran Ramadan memberi kegembiraan berganda buat Dr Soo Wincci kerana selain dapat menjalani puasa di Malaysia, dia juga dapat turut serta melakukan kerja kebajikan yang biasa dilakukannya sejak di bangku sekolah.

“Tahun ini, saya rasa sangat teruja kerana dapat menyambut bulan puasa di Malaysia. Suasana berpuasa di sini lebih meriah berbanding ketika saya berpuasa di Sepanyol sebelum ini. Saya juga rasa sangat seronok kerana pada hari pertama puasa tahun ini, saya berpeluang mengikuti aktiviti amal bersama Islamic Relief Malaysia bagi mengagihkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan daripada komuniti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di Brieckfield, Kuala Lumpur.

“Sudah lama saya rindukan suasana untuk turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan memandangkan sejak Covid-19 melanda, gerak kerja kebajikan turut berdepan kekangan dan terbatas pergerakannya.

“Jadi, bila ada program sebegini, saya memang tak akan lepaskan peluang untuk turut serta membantu. Melalui program sebegini, saya berpeluang melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat juga menyelami permasalahan mereka,” kata Dr Soo Wincci, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

Program edaran pek makanan Rezeki Ramadan yang dianjurkan Islamic Relief Malaysia sudah mula dilaksanakan seawal satu minggu sebelum tibanya bulan puasa.

Ia selari dengan objektif program itu iaitu untuk meringankan beban golongan memerlukan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Program bermusim yang menjadi acara tahunan Islamic Relief Malaysia ini dijalankan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan menyasarkan edaran sebanyak 6,000 pek makanan yang akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang.

Antara Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang turut hadir menyantuni penerima manfaat bersama Dr Soo Wincci adalah chef selebriti, Imelda Harris.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai program kebajikan menyantuni penerima manfaat dari komuniti OKU penglihatan. Ternyata ia memang memberi pengalaman berbeza buat saya dan Wincci.

“Menerusi program ini, kami dapat melihat kegigihan para penerima untuk datang ke lokasi edaran bantuan sehingga ada yang datang menaiki Grab kerana tiada kenderaan. Kami juga berpeluang mengangkat kotak pek makanan Rezeki Ramadan ini dan bantu hantar hingga ke rumah penerima yang tinggal berdekatan kawasan edaran dengan berjalan kaki,” kata Chef Imelda Harris.

Mungkin bagi kita satu pek makanan itu tiada apa-apa

“Dalam keadaan sekarang, ramai orang di sekeliling kita yang terjejas dengan pelbagai ujian khususnya terkesan akibat pandemik. Jadi, kita perlu sama-sama membantu dan menghulurkan bantuan mengikut kapasiti kita.

“Mungkin bagi sesetengah orang yang berkemampuan, bantuan pek makanan Ramadan ini nampak seperti usaha yang kecil sahaja, tetapi sebenarnya bagi penerima manfaat, ia sangat besar maknanya.

“Ada penerima yang berkongsi dengan kami bahawa bekalan makanan asas yang mereka terima ini boleh bertahan antara dua hingga tiga minggu, dan ada juga yang kongsikan ia boleh bertahan selama sebulan sepanjang bulan puasa. Jadi, di sini kita sendiri boleh lihat dan nilai betapa inisiatif ini sangat bermakna dalam meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Saya juga percaya, kehadiran kami bersama sukarelawan dan kakitangan Islamic Relief Malaysia sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada para penerima bantuan, selain menunjukkan keprihatinan kita bahawa mereka tidak bersendirian dalam mengharungi kesusahan,” kata Dr Soo Wincci.

Edaran pek makanan rezeki ramadan merentasi benua

Kempen tajaan pek makanan Rezeki Ramadan yang berslogan #gandakanpahala ini, telah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2,320,000 bagi menyantuni 44,450 penerima manfaat di 32 buah negara termasuk Malaysia menerusi edaran 8,890 pek makanan secara keseluruhan.

Antara negara-negara lain yang tersenarai untuk dibantu ialah Bangladesh, Bosnia, Afghanistan, Syria, Palestin, Yaman, Somalia, Nepal dan banyak lagi.

Justeru, barisan ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia seperti Dr Soo Wincci, Chef Imelda Harris, Irma Hasmie, Diana Amir, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim dan Saujana bersama selebriti Siti Saleha sekali lagi menzahirkan keprihatinan mereka dengan mewujudkan inisiatif menerusi pelaksanaan kempen Rezeki Ramadan Bersama Ikon & Selebriti bagi membantu kerja-kerja pengumpulan dana bagi menyokong usaha Islamic Relief Malaysia untuk membantu mereka yang memerlukan.

Selain memuat naik entri berkaitan kempen di media sosial masing-masing, para ikon dan selebriti terlibat turut menyebarluaskan maklumat berkenaan kempen dan survival kehidupan penerima di negara konflik khususnya, menerusi perkongsian secara langsung di Instagram mereka.

Kepada yang ingin turut serta menyokong usaha murni ini boleh layari laman web ini untuk menyumbang: https://islamicreliefmalaysia.org/order/form/rezekiramadanikon

Yakult dan Islamic Relief Malaysia edar minuman probiotik sempena Ramadan

Seramai 1,310 buah keluarga di sembilan buah negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sarawak telah menerima sumbangan minuman probiotik Yakult menerusi program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia.

Setiap keluarga dibekalkan dengan dua pek minuman Yakult Ace dan Yakult Ace Light selain menerima bantuan khusus pek makanan Rezeki Ramadan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, kurma, gula, uncang teh dan lain-lain.

Sumbangan telah diedarkan sejak 27 Mac lalu sehingga 17 April.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Sains dan Perhubungan Awam Yakult, Lim Siew Ling, Yakult sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat dan pengguna meningkatkan tahap kesihatan mereka agar menjadi lebih baik.

“Memandangkan Islamic Relief Malaysia sentiasa aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu golongan memerlukan, kami lihat ia selari dengan falsafah korporat Yakult yang juga ingin membantu masyarakat, namun kami lebih khusus kepada sudut kesihatan.

“Pemilihan edaran dibuat ketika bulan Ramadan kerana kebanyakan orang cenderung untuk mengalami gangguan penghadaman seperti sembelit disebabkan oleh perubahan corak pemakanan. Jadi, probiotik Yakult ini dapat membantu untuk mengelakkan ketidakhadaman, sembelit dan kembung perut yang biasa dialami semasa bulan Ramadan, seterusnya melengkapkan lagi sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan yang sedia ada diedarkan oleh Islamic Relief Malaysia,” tambah Lim Siew Ling.

Inisiatif ini juga dilihat secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada golongan rentan untuk turut sama menikmati dan mendapatkan khasiat baik daripada setiap barangan yang diberikan.

“Anak-anak saya rasa seronok sangat bila dapat tahu sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan hari ini turut disertakan dengan sumbangan minuman Yakult. Kalau kami nak beli sendiri susah sikit. Biasanya kami akan duhulukan pembelian barangan asas lain. Jadi, bila dapat air Yakult hari ini, rasa seronok sangat,” kata salah seorang penerima manfaat di Sebuyau, Sarawak.

Menurut Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, seperti yang diketahui umum, sejak pandemik COVID-19 melanda disusuli dengan bencana banjir yang menjadi penutup tirai tahun 2021 dan pembuka tahun 2022, terlalu ramai penduduk yang terjejas dari segi pendapatan. Jadi, Islamic Relief Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam membantu mereka yang memerlukan seperti mana yang telah dilaksanakan dengan pihak Yakult.

“Kami percaya, kehadiran Yakult dan sumbangan yang disertakan bersama pek makanan Rezeki Ramadan yang telah diedarkan pastinya memberi banyak nilai tambah serta membawa kegembiraan berganda kepada para penerima manfaat yang semuanya daripada golongan B40 dan ke bawah,” tambah Zairulshahfuddin.

Secara keseluruhan, program edaran pek makanan Rezeki Ramadan anjuran Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan pek makanan kepada lebih 6,000 keluarga di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur di bulan Ramadan serta bekerjasama dengan pelbagai badan korporat dan penyumbang individu untuk menjayakan program bermusim ini.

Islamic Relief terus proaktif salur bantuan di Afghanistan

AFGHANISTAN, 15 April 2022 – Dianggarkan 97 peratus penduduk Afghanistan bakal dihimpit kemiskinan yang lebih teruk menjelang penghujung Jun ini, manakala menurut laporan Program Makanan Sedunia (WFP), 95 peratus penduduk di negara itu terpaksa berdepan ancaman kelaparan yang buruk ekoran kekurangan bekalan makanan.

Justeru, Islamic Relief terus proaktif membantu penduduk Afghanistan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Christian Aid dan Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC).

Sejak Ogos 2021, Islamic Relief telah mengedarkan 29,366 pek makanan kepada penduduk Afghanistan melibatkan kawasan seperti Kabul, Kapisa, Herat, Kandahar, Nangarhar, Balkh dan Bamyan.

Antara bantuan lain yang turut disalurkan ialah keperluan musim sejuk, barangan bukan makanan (NFI), kit kebersihan, alatan penyimpanan air dan kelengkapan pertanian.

Islamic Relief juga menjalankan projek di bawah sektor kehidupan mampan dengan menyediakan haiwan ternakan seperti kambing bagi membolehkan penduduk terjejas di Nangarhar menjana pendapatan mereka selepas kehilangan mata pencarian sebelum ini.

Selain itu, Islamic Relief turut menyediakan peruntukan bagi bantuan penjagaan kesihatan kepada 30,750 pesakit, mengedarkan 385 kit keperluan asas kepada bayi yang baru lahir, 1,397 kit pencegahan jangkitan Covid-19 dan memberikan rawatan sokongan berbentuk psikososial kepada 930 orang penduduk di negara bergolak ini.