Serangan udara di Gaza ragut 33 nyawa

GAZA, 15 Mei 2023 – Sekurang-kurangnya 33 orang terkorban, manakala 147 lagi cedera, susulan serangan udara yang dilancarkan di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu.

Antara yang terkorban adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas. Angka korban dijangka akan terus meningkat.

Sebanyak 51 buah rumah musnah, manakala 49 lagi mengalami separa kerosakan.

Serangan berterusan ini telah menjejaskan kira-kira 2 juta penduduk.

Dilaporkan, pintu sempadan masih ditutup dan menghalang proses penyaluran bantuan perubatan, bahan bakar serta keperluan lain ke Gaza.

Perkhidmatan hospital, bekalan air dan sanitasi dijangka terjejas, ekoran kekurangan bahan bakar untuk menjana bekalan elektrik.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan segera oleh penduduk Gaza ketika ini ialah alatan perubatan, makanan sedia dimakan, tempat perlindungan dan kit kebersihan.

Setakat ini, Islamic Relief Palestine telah mengagihkan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, telur dan ayam kepada 1,000 keluarga terjejas.

Selain itu, bantuan alatan perubatan juga telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Palestin untuk diedarkan kepada hospital terbabit.

Bantu Palestin sekarang!

Angka penduduk terjejas banjir di Somalia dijangka terus meningkat

SOMALIA, 2 Mei 2023 – Kira-kira 10,452 penduduk dilaporkan terjejas di kawasan Beledweyne, Somalia, ekoran banjir yang berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan tanah tinggi di Ethiopia hingga mengakibatkan paras air sungai Shabelle dan Juba di Somalia meningkat.

Bencana ini bukan sahaja memusnahkan jalan raya dan jambatan, malah turut menjejaskan kawasan perladangan, perniagaan dan sumber mata pencarian penduduk setempat.

Islamic Relief di Somalia kini sedang bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta menjalankan respon segera bagi membantu penduduk terjejas.

Bantu Somalia sekarang!

Cuaca tidak menentu di Pakistan ragut dua nyawa

PAKISTAN, 2 Mei 2023 – Sekurang-kurangya dua orang maut, sementara dua lagi cedera akibat dipanah petir di kawasan Khuzdar, Aranji, Balochistan.

Beberapa rumah turut mengalami kerosakan di bahagian dinding.

Selain itu, satu kejadian gempa bumi berukuran 4.5 magnitud dengan kedalaman 54 kilometer telah melanda Balochistan.

Gegaran turut dirasai di kawasan Basima, Shamsi, Damag, Kharan dan Khuzdar, sementara di kawasan Kech, Panjgoor, Washuk, Khuzdar, Mastung, Surab dan Lasbella pula mengalami hujan lebat.

Sementara itu, bandar Turbat pula dilanda banjir, namun kini keadaan sudah terkawal.

Wilayah Balochistan dijangka mengalami hujan, ribut petir dan hujan batu bermula 27 April hingga 3 Mei. Hujan lebat dijangka mengakibatkan banjir kilat.

Jika ramalan cuaca buruk ini berlaku, ia mungkin menjejaskan infrastruktur dan tanaman di Balochistan.

Islamic Relief di Pakistan sedang memantau keadaan semasa dan akan berkongsi perkembangan terkini dari masa ke semasa.

Islamic Relief Malaysia edar bubur lambuk sempena bulan Ramadan

BANGI, 6 April 2023 – Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan 210 bubur lambuk, 100 pek kurma dan risalah kempen Rezeki Ramadan kepada orang awam di sekitar Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Objektif program ini dijalankan adalah untuk mempergiatkan lagi hebahan berkaitan kempen dan aktiviti yang dijalankan ketika bulan Ramadan.

“Selain aktif menjalankan program-program kebajikan membantu golongan rentan, Islamic Relief Malaysia turut merasakan pentingnya untuk menjalinkan hubungan dan interaksi secara terus bersama orang awam dalam usaha menyebarkan maklumat mengenai gerak kerja kemanusiaan yang dijalankan,” kata Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.

Tambahnya, pendekatan ini juga dilihat dapat menjadi ruang buat kakitangan Islamic Relief Malaysia untuk berkenalan dan merapatkan hubungan dengan pemilik premis-premis di kawasan kejiranan ini sambil mengajak mereka untuk turut serta terlibat dalam kerja-kerja tanggungjawab sosial.

Diharapkan pelaksanaan kempen Rezeki Ramadan dan kempen-kempen bantuan lain yang dijalankan Islamic Relief Malaysia terus mendapat capaian yang lebih meluas serta mendapat sokongan pelbagai pihak agar misi untuk membantu golongan memerlukan dapat diperluaskan lagi.

Ratusan khemah pelarian Syria rosak akibat hujan lebat

IDLIB, 30 Mac 2023 – Sekurang-kurangnya 514 khemah rosak, dan 1,044 lagi rosak sebahagiannya berikutan hujan lebat yang melanda Idlib, Syria hingga menjejaskan 33,742 orang di 74 kem pelarian.

Bencana ini memberi kesan besar kerana ada diantara kem terbabit baru sahaja dibina dan didiami penduduk terjejas gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.

Kebanyakan jalan raya di dalam kawasan kem diselaputi lumpur hingga tidak boleh digunakan.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah selimut, tilam, plastik penebat haba, khemah dan makanan.

Terkini, Islamic Relief telah merangka untuk mengedarkan bantuan tilam, plastik penebat haba dan alat pemanas kepada 200 penduduk terjejas.

Banjir kilat di Somalia ragut 20 nyawa

SOMALIA, 30 Mac 2023 – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban, manakala 8,000 lagi hilang tempat tinggal dalam banjir kilat yang melanda kawasan Bardhere, Gedo, Somalia.

Bencana itu turut memusnahkan harta benda, kediaman dan kawasan pertanian penduduk setempat.

Penduduk terjejas yang hilang tempat tinggal telah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri, namun kini berlaku kesesakan di tempat tersebut hingga menyebabkan mereka berdepan masalah kekurangan sumber air dan kemudahan sanitasi.

Jika keadaan ini terus berlarutan, dikhuatiri penyakit bawaan air seperti diarea akan menular.

Antara keperluan mendesak yang telah dikenalpasti ialah barangan bukan makanan, trak bagi membekalkan air bersih dan tempat perlindungan untuk 5,000 pelarian dalam negara (IDPs).

Islamic Relief kini sedang merangka plan bantuan wang tunai sebagai respon segera kepada penduduk terjejas.