Islamic Relief giat bantu penduduk terjejas banjir di Bangladesh

BANGLADESH, 22 Jun 2022 – Lebih 100 orang terkorban akibat banjir buruk yang melanda Bangladesh dan India sementara jutaan lagi penduduk terkandas tanpa bekalan air dan makanan yang mencukupi.

Bencana ini telah menyebabkan kerosakan besar pada ladang, rumah dan harta benda.

Islamic Relief Bangladesh mula memberi respon segera bagi membantu penduduk terjejas sejak 27 Mei lalu melibatkan agihan bantuan pek makanan, kit kebersihan dan wang tunai.

Selain itu, taklimat mengenai penjagaan kebersihan dan perlindungan ketika banjir turut dijalankan, manakala kerja-kerja mencari, menyelamat serta memindahkan penduduk terjejas masih giat dilakukan di kawasan Sylhet dan Sunamganj.

Menurut Akmal Shareef, Pengarah Negara Islamic Relief Bangladesh, salah satu pejabat lapangan Islamic Relief turut ditenggelami air, namun gerak kerja membantu penduduk terjejas terus giat dijalankan memandangkan kebanyakan penduduk terjejas sudah mula kekurangan bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera untuk meneruskan survival.