Hujan Lebat dan Banjir Kilat di Pakistan Semakin Memburuk

PAKISTAN, 3 Ogos 2022 – Sekurang-kurangnya 419 orang terkorban, manakala 500 lagi cedera setakat 30 Julai lalu, ekoran hujan lebat serta banjir kilat yang melanda Pakistan.

Sebanyak 34,940 buah rumah musnah, 61 jambatan runtuh dan 24,420 haiwan terkorban.

Turut dilaporkan terjejas, deretan kedai, jalan raya serta lebih 800 bangunan sekolah.

Bencana yang melanda telah menyebabkan kerugian besar meliputi kawasan Balochistan, Sindh, Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab.

Daerah Quetta, Balochistan telah diisytiharkan darurat kerana paling teruk terjejas.

Islamic Relief kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi lain, sementara kakitangan Islamic Relief pula sedang giat menjalankan penilaian keperluan mendesak bagi mengenal pasti dan merangka pelan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas.