“Kami sekeluarga pernah tak makan selama tiga hari hingga anak-anak menangis kelaparan.”

Islamic Relief Malaysia mengedarkan 100 unit baucar tunai bernilai RM200 kepada komuniti pelarian dari Myanmar di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, Selangor sempena menyambut bulan Ramadan.

Inisiatif ini merupakan salah satu bentuk bantuan yang diwujudkan menerusi projek Rezeki Ramadan dengan slogan #gandakanpahala.

Pengurus Bahagian Program Islamic Relief Malaysia, Fa’azurah Kadir berkata objektif program bermusim yang dijalankan Islamic Relief secara global selama hampir empat dekad ini bertujuan meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika bulan Ramadan.

“Bantuan ini juga berperanan sebagai alternatif bagi penerima manfaat dalam berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan masalah kewangan.

“Pendekatan baucar tunai diguna pakai bagi memberi fleksibiliti kepada penerima manfaat untuk membeli barangan mengikut keperluan mereka.

“Selain menggunakan kaedah baucar tunai yang boleh ditebus oleh penerima manfaat di pasaraya terpilih, projek Rezeki Ramadan turut memberikan pek makanan yang dilengkapi dengan barangan keperluan asas seperti beras, bihun, gula, garam, tepung gandum, biskut, sos cili, kicap, teh, serbuk minuman malt coklat, kopi, minyak masak, sardin, kurma, santan, serbuk rempah dan pelitup muka,” jelas Fa’azurah.

Secara keseluruhan, projek Rezeki Ramadan bakal memberi manfaat kepada lebih 6,000 keluarga di seluruh Malaysia.

Antara kriteria utama pemilihan penerima bantuan ialah golongan B40 dan ke bawah, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik, pelarian, penduduk terjejas bencana dan keluarga dengan bilangan ahli yang ramai.

“Saya bekerja di kedai cuci kereta untuk menampung kehidupan kami empat beranak. Sebelum ini, saya kutip besi buruk dan jual. Itu sahaja punca pendapatan saya. Dalam sehari dapat sekitar RM20 atau RM30.

“Hidup kami memang susah. Sewa rumah sering tertunggak. Kami sekeluarga pernah tak makan selama tiga hari hingga anak-anak menangis kelaparan sebab memang tiada duit langsung,” cerita Mohd Shahid Mohd Ilyas, penerima manfaat projek Rezeki Ramadan di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang.

Shahid menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas sumbangan yang diberikan. Dia juga berterima kasih kepada para penyumbang kerana sudi membantu meski mereka bukan warganegara Malaysia.

“Sebagai wakil komuniti yang menjadi perantara dalam sesi edaran baucar tunai ini, saya sangat bersyukur kerana permohonan bantuan kami mendapat perhatian dan pertimbangan Islamic Relief Malaysia.

“Saya buat kerja-kerja ini secara sukarela kerana saya kasihan dengan komuniti pelarian di sini. Kebanyakan daripada mereka tidak boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Jadi, sukar untuk mereka mencari atau mendapatkan bantuan daripada pihak lain selain kenalan atau saudara-mara sendiri.

“Kadangkala bantuan diterima dalam kuantiti yang sedikit, jadi saya akan cuba usulkan nama penerima bantuan secara berperingkat. Saya bukan apa, saya kasihan dengan mereka, hidup mereka sangat susah sebab tidak tahu membaca dan menulis. Jadi, nak cari kerja pun susah,” kata Zahida Ismail, sukarelawan wakil komuniti.

Selain bantuan dalam negara, Islamic Relief Malaysia turut mengedarkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di luar negara termasuk di Palestin, Indonesia, Bosnia, Filipina, Syria, Yaman, Afghanistan, Lubnan, Somalia dan Pakistan.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melayari laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi ibu pejabat Islamic Relief Malaysia di talian 03-8926 3434.