Islamic Relief Bantu Penduduk Terjejas Gempa Bumi di Pakistan

PAKISTAN, 20 Oktober 2021 – Islamic Relief Pakistan telah mengedarkan 300 khemah dan tikar, 600 tarpaulin, tilam serta selimut kepada penduduk terjejas gempa bumi di kawasan Harnai pada 12 Oktober lalu.

Islamic Relief Pakistan juga telah menghantar lapan orang kakitangannya untuk menjalankan proses penilaian keperluan mendesak di Balochistan.

Sementara itu, angka korban insiden gempa bumi di negara itu kini telah meningkat kepada 45 orang manakala jumlah penduduk cedera pula seramai 246.

Sebanyak tujuh jambatan, 45 buah jalan, dua kemudahan sistem solar, 65 ekor haiwan ternakan dan tanaman pertanian turut musnah akibat gempa yang melanda.

Operasi membantu dan menyelamat di kawasan Harnai masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Islamic Relief Edar Bantuan Pek Makanan di Kabul

AFGHANISTAN, 18 Oktober 2021 – Islamic Relief Afghanistan telah mengedarkan 777 bantuan pek makanan kepada penduduk terjejas di Khak E Jabar, Bagrami, Deh Sabz dan 12 lagi kawasan di wilayah Kabul pada 9 dan 10 Oktober lalu.

Sementara itu, lebih tujuh projek lain yang sedang dilaksanakan di Afghanistan sebelum ini masih berjalan seperti biasa.

Isu berkaitan urusan perbankan dan pembekuan wang masih kekal berlarutan.

Menurut kajian penilaian Program Makanan Sedunia (WFP), 95 peratus daripada 1,600 isi rumah yang ditemui tidak cukup makan setiap hari.

Hal ini antaranya berpunca daripada isu kenaikan harga barangan makanan melibatkan gandum, tepung, gula dan minyak masak.

Setiausaha Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa sekiranya keadaan berlarutan sebegini, ekonomi Afghanistan akan musnah.

Isu Kekurangan Bahan Bakar di Lubnan Kian Meruncing

LUBNAN, 13 Oktober 2021 – Bekalan elektrik di Lubnan terputus ekoran dua stesen janakuasa utama di negara itu terpaksa ditutup berikutan kekurangan bahan bakar.

Menurut laporan media antarabangsa, kekurangan nilai mata wang asing menjadikan isu kekurangan bahan bakar dan kesukaran penjanaan elektrik secara persendirian menjadi lebih kritikal.

Krisis ekonomi yang menghimpit Lubnan ketika ini terjadi atas beberapa faktor antaranya kesan insiden letupan di Beirut, impak pandemik COVID-19 serta kelemahan sistem pentadbiran negara.

Nilai mata wang Lubnan terus merudum lantas mengakibatkan berlakunya inflasi. Hal ini membuatkan penduduk setempat menjadi semakin tertekan dan terjejas.

Islamic Relief telah beroperasi di Lubnan sejak 2006 dan kini masih giat berusaha membantu penduduk terjejas meski berdepan pelbagai cabaran.

Insiden Gempa Di Pakistan Ragut 42 Nyawa

PAKISTAN, 11 Oktober 2021 – Sekurang-kurangnya 42 orang terkorban manakala 229 lagi cedera dalam insiden gempa bumi dengan kekuatan 5.9 skala Richter, pada kedalaman 15 kilometer yang melanda kawasan Harnai di wilayah Balochistan pada 7 Oktober lalu.

Insiden ini telah menjejaskan 35,363 penduduk setempat. 409 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dan ada yang musnah sepenuhnya.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Balochistan (PDMA), kemudahan awam seperti sekolah dan hospital turut terjejas teruk sementara pasukan penyelamat pula, kini sedang giat menjalankan kerja-kerja membantu dan menyelamat.

Islamic Relief Pakistan kini bekerjasama dengan PDMA dan pihak pengurusan tempatan yang lain bagi membantu penduduk setempat antaranya menghantar mereka ke hospital dan mengedarkan air minuman bagi individu terjejas yang berada di hospital.

Penduduk Kenya Berdepan Ancaman Kemarau Dan Kelaparan

KENYA, 20 September 2021 – Dianggarkan 2.1 juta penduduk Kenya kini berada dalam fasa kecemasan kebuluran tahap tiga berikutan bencana kemarau yang melanda negara itu semakin buruk.

Angka ini menunjukkan peningkatan 70 peratus sejak awal Februari lalu.

Kadar malnutrisi juga dilaporkan tinggi.

Kira-kira 70 peratus kawasan takungan air di Kenya sudah mulai kering dan paras air juga turut dilaporkan semakin menyusut.

Menurut Islamic Relief Kenya, keadaan kesihatan haiwan ternakan penduduk mulai merosot ekoran kekurangan sumber makanan. Ini mengakibatkan berat haiwan mulai berkurangan sekaligus menjadikan harga ternakan itu juga menurun.

Keadaan ini membuatkan pendapatan para penternak terjejas dan menyukarkan mereka untuk membeli bekalan makanan dan keperluan asas lain.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta bantuan sokongan untuk haiwan ternakan.

Konflik Kemanusiaan di Sudan Selatan Semakin Buruk

SUDAN SELATAN, 17 September 2021 – Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), sekurang-kurangnya 380,000 penduduk terjejas banjir melibatkan kawasan Jonglei, Unity, Bahr El Ghazal dan Warrap.

Jangkitan wabak demam campak, virus Rubella dan hepatitis E mula menular di kawasan Warrap manakala jumlah jangkitan positif COVID-19 juga dikatakan semakin meningkat.

Operasi pengangkutan dan logistik di sempadan Uganda-Sudan Selatan dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat insiden serangan dan pembunuhan pemandu trak di jalan raya.

Lebih 13,300 penduduk terpaksa melarikan diri ekoran konflik bersenjata yang berlaku di antara South Sudan People’s Defence Forces (SSPDF) dan puak bersenjata tempatan.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan penduduk terjejas ialah makanan, tempat perlindungan, barangan bukan makanan (NFI) dan bantuan air, sanitasai dan kebersihan (WASH).

Islamic Relief mempunyai beberapa projek bantuan di Sudan Selatan khususnya di kawasan Alabek, Awul, Akop, Kirik dan Rualbet, utara Tonj melibatkan bantuan makanan serta WASH.