Islamic Relief bantu penduduk terjejas gempa di Afghanistan

AFGHANISTAN, 11 Ogos 2022 – Sebanyak 925 buah keluarga yang terjejas akibat kejadian gempa bumi di Paktika, Afghanistan Jun lalu telah menerima sumbangan pek makanan dan kit kebersihan daripada Islamic Relief.

Selain itu, Islamic Relief turut merangka pelan bantuan bagi fasa pemulihan dan pembangunan semula kehidupan selepas bencana, menerusi projek di bawah sektor kehidupan mampan.

Secara keseluruhan, Islamic Relief mempunyai lebih 20 buah projek yang sedang berjalan di Afghanistan.

Setakat ini, penduduk setempat masih lagi berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, perkhidmatan asas serta kehilangan sumber pendapatan ekoran situasi semasa yang masih belum stabil.

Krisis sistem perbankan juga masih menjadi masalah utama di Afghanistan, hingga mengakibatkan harga barangan serta kadar tukaran mata wang mempengaruhi kadar turun naik kos bahan mentah di pasaran.