Angka kematian banjir di Pakistan terus meningkat

PAKISTAN, 7 September 2022 – Banjir di Pakistan semakin memburuk dengan peningkatan angka kematian seramai 1,343 orang manakala 12,720 lagi dilaporkan cedera.

Setakat ini, lebih 33 juta orang terjejas, sementara 1,693,361 orang hilang tempat tinggal.

Kira-kira 3.6 ekar keluasan tanaman dan ladang pertanian di Balochistan, Punjab dan Sindh turut terjejas teruk.

Menurut Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan, pihaknya menerima banyak laporan mengenai gangguan internet di kawasan tengah dan utara negara itu pada 19 Ogos lalu, berikutan kerosakan teknikal akibat hujan lebat dan banjir.

Setakat ini, Islamic Relief telah mengedarkan bantuan seperti khemah, pek makanan, wang tunai, alatan dapur, kit kebersihan dan tarpaulin kepada 52,094 individu yang terjejas banjir di kawasan Nushki, Quetta di Balochistan, daerah Tank, Nowshera, Charsadda dan DI Khan di Khyber Pakhtunkhwa dan di Malir, Karachi, Thatta serta Mirpur Khas, Sindh.

Dengan kerjasama daripada pasukan penyelamat 1122, Islamic Relief telah berjaya melatih 50 sukarelawan dan membekalkan kelengkapan kecemasan seperti jaket dan bot sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Setiap hari, anggota penyelamat menjalankan proses pemindahan sekurang-kurangnya 300 penduduk terjejas dan setakat ini lebih 1,000 orang telah berjaya diselamatkan.