“Saya rasa kali ini kami tak dapat bertahan..”

“Saya rasa kali ni kami tak dapat bertahan..”

Dalam kekalutan menghadapi situasi yang dahsyat dan menggerunkan, Gaza terus diberi tekanan apabila dikenakan sekatan penuh termasuk diputuskan bekalan air dan elektrik. Seorang kakitangan Islamic Relief di Gaza yang dirahsiakan identitinya menceritakan mengenai pengalaman yang dilaluinya dan berkongsi kesan sekatan terhadap orang awam.

“Serangan yang berlaku sangat cepat dan menakutkan. Semasa saya menulis kisah ini, rumah saya bergegar akibat letupan bom yang kuat. Hari ini, masjid berhampiran rumah kami telah dibom dan musnah sama sekali. Anak-anak saya yang sedang bermain di ruang tamu mula menjerit dan menangis.

“Sebagai orang yang biasa hadapi pelbagai peristiwa serangan, saya berasa takut. Saya rasa kali ini kami mungkin tidak dapat bertahan.

“Kami segera mengemas pakaian dan bersedia sekiranya perlu berpindah. Disebabkan perasaan kali ini sedikit berbeza, kami membawa semua barangan penting seperti kad pengenalan diri dan sijil kelahiran anak. Kami juga sempat mengemas barang yang mempunyi nilai sentimental termasuk video perkahwinan serta sijil-sijil universiti. Saat itu, kami sedia untuk tinggalkan segala-galanya.

“Keadaan semakin meruncing dalam tempoh beberapa jam selepas pusat bandar Gaza diserang. Segalanya berubah sekelip mata. Tempat kerja, universiti dan restoran kegemaran, semua musnah gara-gara serangan udara!

“Jika ditakdirkan kami masih hidup, saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan Gaza selepas ini.”

Tiada lagi tempat selamat

“Sekatan penuh telah menjejaskan banyak perkara di Gaza. Kami tidak lagi mempunyai akses kepada sumber makanan, petrol, bekalan perubatan dan banyak lagi.

“Penduduk yang menghidap penyakit kronik seperti kanser dan masalah jantung antara yang teruk terkesan apabila mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan rawatan dan hal ini boleh menyebabkan nyawa mereka terancam.

“Rakan-rakan saya yang pergi ke Tebing Barat kini tidak dapat kembali ke Gaza manakala ramai kakitangan ekspatriat yang bekerja di Gaza tidak dapat keluar dari sini.

“Bagi pekerja kemanusiaan seperti kami, cabaran utama adalah untuk menjaga keselamatan diri apabila tiada lagi tempat yang selamat. Bergerak dari satu tempat ke satu tempat adalah sangat berbahaya. Hanya ambulans dan kereta polis saja kenderaan yang dapat dilihat di jalanan. Kadang-kadang, saya takut nak pandang luar.

“Keadaan di luar sangat merbahaya. Untuk sampai ke sesuatu lokasi, setiap langkah menjadi taruhan. Walaupun gentar, sebagai pekerja kemanusiaan, kami akan cuba sedaya upaya untuk turun ke lapangan dan membantu mereka yang memerlukan. Kami hanya boleh berharap agar kami selamat kembali kepada keluarga kami.

Terpaksa berlindung di sekolah

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal sejak serangan dilancarkan. Beratus-ratus orang datang ke sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari perlindungan termasuk orang dari luar Gaza.

“Rumah saya dekat dengan salah sebuah sekolah di sini dan saya dapat melihat bilik darjah dipenuhi dengan tilam dan barangan. Sekolah ini tidak dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai ruang yang terhad. Saya bimbang peningkatan bilangan orang yang berlindung di situ boleh menyebabkan penularan penyakit.

“Di kawasan sekitar sekolah, saya melihat ramai yang cuba dapatkan barangan runcit dan air minuman tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai wang untuk membayar kerana bergantung kepada gaji harian.

“Ramai yang mencari perlindungan ketika ini. Saya sendiri terfikir untuk meninggalkan rumah saya dan pergi ke rumah ibu bapa saya. Walaupun saya yakin tiada lagi tempat yang selamat, sekurang-kurangnya saya dapat melihat ibu bapa saya dan bersama mereka.”

Bantu rakyat Palestin dan berikan sumbangan kepada kempen Rayuan Palestin sekarang!