Lebih 24 juta penduduk di Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan

SUDAN, 27 September 2023 – Menurut data daripada plan bantuan kemanusiaan pada tahun ini, kira-kira 24.7 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sejak konflik pertempuran melanda pertengahan April lalu, seramai 4.8 juta orang hilang tempat tinggal.

Situasi semasa di Sudan masih lagi tegang melibatkan lapan wilayah antaranya Darfur dan Kordofan.

Sementara itu, siri pengeboman, serangan udara, tembakan dan rompakan masih berterusan di wilayah Khartoum dengan keadaan mayat bergelimpangan di sekitar bandar.

Harga barangan asas di pasaran pula terus meningkat naik, menjadikan kadar inflasi juga bertambah tinggi.

Walaupun terdapat pelbagai halangan dan cabaran untuk menyalurkan bantuan di Sudan, setakat ini Islamic Relief sudah membantu lebih 225,000 penduduk setempat.

Antara bantuan yang diberikan ialah pek makanan, kit kebersihan, ubat-ubatan dan barangan pertanian.