Lebih Tiga Ribu Penduduk Mali Melarikan Diri Ekoran Pertembungan antara Puak-Puak Bersenjata

MALI, 29 Januari 2021 – Seramai 3,374 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran berlaku pertembungan di antara puak-puak bersenjata Mali yang berlaku di Ghourma Rharous, wilayah Bambara Maoude.

 

Kebanyakan penduduk yang melarikan diri terpaksa meninggalkan kediaman dan harta benda mereka termasuk bekalan makanan dan haiwan ternakan kerana terlalu bimbang melihat keganasan yang berlaku.

 

Sebahagian besar pelarian kini tinggal di dalam khemah dalam keadaan cuaca sejuk.

 

Keadaan ini membuatkan mereka terdedah dengan risiko jangkitan penyakit radang paru-paru.

Islamic Relief Mali kini sedang berada di lapangan bagi menjalankan penilaian bantuan kemanusiaan yang diperlukan para pelarian dengan kerjasama ‘International Medical Corp’ (IMC).

Antara keperluan utama telah dikenalpasti ketika ini ialah makanan, tempat tinggal, ubat-ubatan dan air.

Islamic Relief turut merangka untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan serta sumber air bersih untuk penduduk terjejas.

Islamic Relief Rangka Bantuan Santuni Pelarian Mali

MALI, 29 Januari 2021 – Pertembungan diantara puak-puak bersenjata terus mencetuskan ketegangan di Mali seterusnya mengakibatkan ratusan penduduk wilayah Haribomo dan Gossi terpaksa melarikan diri.

Meskipun konflik ini tercetus sejak Disember 2020, namun gerak kerja penilaian keperluan semasa masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan terdapat kekangan akses ke kawasan terlibat.

Antara keperluan utama yang telah dikenalpasti ialah makanan, tempat tinggal, air, sanitasi & kebersihan (WASH) dan barangan bukan makanan (NFI).

Islamic Relief Mali kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan organisasi lain seperti Program Makanan Sedunia (WFP) untuk membantu penduduk terjejas.

Islamic Relief sedang merangka untuk membekalkan bantuan makanan dan perlindungan kepada lebih 600 penduduk di Haribomo manakala di Gossi pula melibatkan bantuan WASH yang akan memberi manfaat kepada lebih 700 orang.

Islamic Relief Edar Kit Kebersihan dan Barangan Bukan Makanan kepada Pelarian Ethiopia

SUDAN, 27 Januari 2021 – Angka pelarian Ethiopia yang berjaya melepasi sempadan Sudan dan mendaftar di bawah Suruhanjaya Pelarian Sudan (COR) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat 26 Januari meningkat kepada 60,285 orang.

Sebanyak 70 kit kebersihan dan 73 barangan bukan makanan (NFI) telah diedarkan di kem Um Rakuba menerusi projek Rapid Response Mechanism (RRM) dan projek bantuan Islamic Relief.

Bantuan Cheer To School 2021 Sekolah Kebangsaan Kajang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli)

BANGI, 25 Januari 2021 – Islamic Relief Malaysia menyerahkan bantuan persekolahan melalui program Cheer To School kepada wakil pihak sekolah Sekolah Kebangsaan Kajang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli), Dengkil.

Seramai 199 pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan isi rumah bulanan penengah 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan persekolahan termasuk pakaian sekolah, kasut, stokin, beg sekolah, buku latihan, alat tulis, dan botol air bernilai RM200 setiap seorang.

Mengulas lanjut, Penolong Pegawai Bahagian Program Islamic Relief Malaysia, Nur Hidayu Marzuki, berkata program Cheer To School ini bertujuan untuk menyediakan keperluan persekolahan kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan di samping meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung ibu bapa.

“Pemberian bantuan program Cheer To School ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa di samping memberikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar daripada keluarga B40 dan ke bawah, golongan miskin bandar, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), dan orang asli,” katanya.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kajang, Azmi Zakaria, berkata berdasarkan tinjauan pihak sekolah, mereka mendapati bahawa keluarga berpendapatan rendah dan sederhana adalah antara yang paling terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak NGO termasuk Islamic Relief.  Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan agar lebih ramai golongan B40 di luar sana yang akan dibantu pada masa yang akan datang,” katanya.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli), Alfikri Murid, berkata berdasarkan data pekerjaan dan maklumat pendapatan ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan, seramai 90 peratus pelajar adalah daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kebanyakan ibu bapa pelajar di sini bekerja sebagai peladang, pengawal keselamatan, atau operator pengeluaran di sektor perkilangan. Rata-rata pelajar tidak mempunyai kemudahan televisyen di rumah, apatah lagi peranti telefon bimbit mudah alih dan capaian internet untuk meneruskan pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Kebanyakan mereka terpaksa menggunakan semula pakaian abang atau kakak mereka ekoran kekangan kewangan untuk membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan yang baru,” katanya.

Penerima manfaat Islamic Relief Malaysia dari Kampung Orang Asli Kelingsing, Asmidah, berkata sumbangan seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarganya.

“Saya dan suami menghadapi kesukaran untuk membelikan pakaian sekolah kepada tiga orang anak kami kerana masalah kewangan. Kami juga sukar ke mana-mana. Anak-anak tidak dapat ke sekolah dan setiap hari bertanya kepada saya bilakah mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya.

Mereka turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Islamic Relief Malaysia dan para penyumbang atas keprihatinan terhadap keperluan pelajar di samping dapat meringankan beban perbelanjaan yang dihadapi ibu bapa daripada golongan B40 menjelang permulaan sesi persekolahan.

Mereka juga berharap agar sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meningkatkan motivasi dan kesediaan para pelajar untuk menghadapi sesi pembelajaran 2021.

Islamic Relief Terus Proaktif Bantu Penduduk Terjejas Gempa di Sulawesi

SULAWESI, 22 Januari 2020 – Sebanyak tiga tan beras, 300 sarang telur ayam, 300 tarpaulin, 300 pek makanan, 600 selimut, 300 pencuci dan pembersih tangan serta 300 kotak pelitup muka telah berjaya diedarkan oleh Islamic Relief Indonesia kepada penduduk terjejas di kampung Ratetonda dan Mekkata susulan gempa yang melanda Sulawesi baru-baru ini.

Secara keseluruhan, 59 pusat pemindahan sementara juga telah dibina di Mamuju dan 20 lagi di kawasan Majene.

Terdapat empat buah kampung di daerah Malunda, Majene masih gagal diakses. Setakat ini bantuan hanya boleh dihantar ke kawasan tersebut menerusi jalan udara.

Dalam pada itu, dua kakitangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan telah disahkan positif Covid-19.

Susulan itu, kerajaan tempatan telah mengarahkan semua individu yang ingin menjalankan gerak kerja bantuan ke Sulawesi Barat, perlu menjalani ujian saringan menggunakan alat mengesan jangkitan virus ‘rapid test antigen’ yang telah disediakan bagi mengekang wabak itu dari terus menular.

Islamic Relief Giat Bina Kemudahan Tandas dan Tangki Air Untuk Pelarian Ethiopia di Sudan

SUDAN, 20 Januari 2021 – Angka pelarian Ethiopia yang berjaya melepasi sempadan Sudan dan mendaftar di bawah Suruhanjaya Pelarian Sudan (COR) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat 18 Januari meningkat kepada 59,130 orang.

Islamic Relief telah menghantar 240 set peralatan memasak ke Wilayah Gadaref manakala kerja-kerja pembinaan projek tandas dan tangki air di kem Um Raquba sedang giat dilaksanakan.