Konflik Kemanusiaan di Sudan Selatan Semakin Buruk

SUDAN SELATAN, 17 September 2021 – Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), sekurang-kurangnya 380,000 penduduk terjejas banjir melibatkan kawasan Jonglei, Unity, Bahr El Ghazal dan Warrap.

Jangkitan wabak demam campak, virus Rubella dan hepatitis E mula menular di kawasan Warrap manakala jumlah jangkitan positif COVID-19 juga dikatakan semakin meningkat.

Operasi pengangkutan dan logistik di sempadan Uganda-Sudan Selatan dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat insiden serangan dan pembunuhan pemandu trak di jalan raya.

Lebih 13,300 penduduk terpaksa melarikan diri ekoran konflik bersenjata yang berlaku di antara South Sudan People’s Defence Forces (SSPDF) dan puak bersenjata tempatan.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan penduduk terjejas ialah makanan, tempat perlindungan, barangan bukan makanan (NFI) dan bantuan air, sanitasai dan kebersihan (WASH).

Islamic Relief mempunyai beberapa projek bantuan di Sudan Selatan khususnya di kawasan Alabek, Awul, Akop, Kirik dan Rualbet, utara Tonj melibatkan bantuan makanan serta WASH.

Islamic Relief Edar Bantuan Barangan Bukan Makanan Kepada Penduduk Terjejas Banjir di Sudan

SUDAN, 7 September 2021 – Lebih 88,000 penduduk Sudan dilaporkan terjejas akibat hujan lebat dan banjir
kilat yang melanda 13 wilayah di negara itu sejak Julai lalu.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Aj Jazirah, Darfur barat dan selatan serta Gedaref.

Setakat 1 September, 4,800 rumah musnah manakala 12,780 lagi mengalami kerosakan.

Kebanyakan penduduk terjejas terpaksa menumpang di rumah saudara-mara atau berlindung di dalam
bangunan kerajan.

Kerja-kerja menyelamatkan penduduk terjejas sudah mula dilaksanakan oleh Suruhanjaya Bantuan
Kemanusiaan Sudan (HAC) dan organisasi bantuan lain.

Sekiranya keadaan ini berlarutan, bekalan bantuan perlu disalurkan segera ke Sudan.

Terkini, Islamic Relief telah selesai mengedarkan bantuan barangan bukan makanan (NFI) kepada penduduk
terjejas di Al Fao, Gedaref dan Utara Khartoum.

Rakyat Afghanistan Perlu Bantuan Segera

AFGHANISTAN, 6 September 2021 – Lebih 17,600 pelarian dalam negara (IDPs) di Kabul memerlukan bantuan kemanusiaan sama seperti penduduk di Herat, Nangarhar, Balkh dan Kandahar.

Secara keseluruhan, seramai 550,780 daripada lebih 81,309 buah keluarga hilang tempat tinggal sepanjang tahun ini ekoran konflik yang berlarutan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bekalan makanan di Afghanistan akan habis pada penghujung bulan ini manakala sekurang-kurangnya 200 juta dolar diperlukan untuk membekalkan bantuan makanan kepada golongan rentan.

Lebih separuh kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah menderita masalah kekurangan zat makanan dan lebih satu per tiga penduduk tidak mendapat keperluan makanan secukupnya.

Harga makanan dan bahan bakar terus meningkat, mengakibatkan semakin banyak keluarga terpaksa menjual barangan keperluan rumah bagi mendapatkan wang untuk keperluan harian dan proses migrasi ke negara lain di bahagian utara wilayah itu.

Setakat ini, 117,000 orang telah dipindahkan daripada Kabul. Selain itu, turut dilaporkan berlaku gangguan bekalan elektrik dan air di kawasan itu manakala rangkaian internet pula perlahan.

Sekurang-kurangnya lima roket telah dilancarkan untuk menembak balai polis di Kabul pada 30 Ogos lalu, seterusnya meragut tujuh nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan.

Dalam kejadian lain, sembilan orang maut termasuk enam kanak-kanak dalam serangan yang menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan perumahan di Kabul menggunakan dron.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menganggarkan, 500,000 penduduk Afghanistan bakal meninggalkan negara itu dalam tempoh empat bulan lagi ekoran keadaan politik yang tidak menentu.

Islamic Relief telah menyertai sesi penilaian keperluan mendesak penduduk terjejas bersama rakan kemanusiaan lain sejak 28 Ogos lalu. Setakat ini, 286 buah keluarga telah dikenalpasti untuk penyaluran bantuan dan Islamic Relief akan memperluaskan lagi kajian penilaian di Kabul.

Islamic Relief merangka untuk mengedarkan bantuan 950 pek makanan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Islamic Relief Worldwide telah melancarkan kempen Rayuan Kecemasan Afghanistan yang menyasarkan dana sebanyak 5 juta dolar untuk membantu penduduk terjejas melibatkan bantuan pek makanan, kit kebersihan, kit simpanan air, barangan bukan makanan (NFI) dan perlindungan.

Keadaan di Afghanistan Dilaporkan Stabil

AFGHANISTAN, 24 Ogos 2021 – Keadaan semasa di Kabul dan beberapa daerah lain dilaporkan stabil meskipun rakyat Afghanistan masih dalam keadaan takut dan risau.

Setakat ini, pihak pemerintah berjaya mengawal aktiviti jenayah dan bertindak segera untuk menahan sesiapa sahaja yang cuba mengambil kesempatan dalam tempoh fasa peralihan kuasa.

Pengurangan cukai bagi sumber minyak dan makanan yang dibawa daripada Pelabuhan Aqina menjadikan harga jualan minyak dan makanan di Kabul serta beberapa kawasan lain menjadi lebih murah.

Kebanyakan pasaraya dan pusat membeli-belah di Kabul sudah kembali beroperasi manakala perkhidmatan perbankan masih ditutup sepenuhnya.

Kementerian Pengajian Tinggi pula mengumumkan, sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Islamic Relief Afghanistan telah merangka pelan bantuan untuk mengedarkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas seperti bantuan makanan, kit kebersihan, tempat simpanan air, barangan bukan makanan (NFI) dan perlindungan.

Banjir Jerman: Islamic Relief Edar Bantuan Makanan Panas

JERMAN, 23 Ogos 2021 – Islamic Relief Jerman telah mengedarkan bantuan makanan panas kepada penduduk yang terjejas banjir di kawasan Auf Der Muhle, Stolberg di Jerman sejak 9 hingga 15 Ogos lalu.

Bencana banjir yang melanda Jerman pada pertengahan Julai lalu mengakibatkan banyak kediaman musnah manakala bilik bawah tanah dan jalan raya rosak disebabkan tanah runtuh serta ditenggelami air.

Kawasan Rhine-Westphalia dan Rhineland-Palatinate adalah lokasi yang paling teruk terjejas.

Menurut Islamic Relief Jerman, setakat 22 Julai, seramai 172 orang terkorban.

Kemudahan seperti tadika dan sekolah turut dilaporkan mengalami kerosakan sementara rangkaian telekomunikasi, bekalan elektrik dan air minuman di kebanyakan tempat masih mengalami gangguan.

Penghuni pusat penempatan warga emas, kakitangan persaraan dan orang kurang upaya (OKU) pula terpaksa dipindahkan.

Setakat ini, terdapat 15 organisasi sedang aktif menjalankan kerja-kerja bantuan dan mengenalpasti keperluan mendesak penduduk terjejas.

Islamic Relief juga kini sedang merangka plan seterusnya untuk membantu membersihkan kemudahan awam melibatkan tadika, pusat komuniti, sekolah, perpustakaan dan lain-lain.

41 Orang Cedera Dalam Serangan Di Sempadan Gaza

GAZA, 23 Ogos 2021 – Sekurang-kurangnya 41 orang cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang kini berada dalam keadaan kritikal ekoran serangan yang berlaku di sempadan Gaza, Palestin Sabtu lalu.

Insiden ini berlaku ketika penduduk Gaza sedang melakukan demonstrasi sempena memperingati 52 tahun insiden pembakaran Al-Aqsa serta permulaan penderitaan yang dilalui penduduk setempat ekoran sekatan yang dilaksanakan ke atas mereka.

Islamic Relief Palestin kini sedang memantau keadaan semasa di lapangan.