Sudan Dilanda Banjir Kilat

SUDAN, 3 Ogos 2021 – Lebih 150 buah rumah mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang melanda kawasan Al Fao, Gedaref di Sudan sejak 21 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Kawasan sumber air utama dan stesen janakuasa elektrik di Al Fao juga dikatakan sudah ditenggelami air.

Keadaaan lebih 70,000 penduduk setempat yang sememangnya sedang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan menjadi lebih sukar dan kritikal.

Banjir kilat yang berlaku turut menjejaskan 48,000 penduduk di White Nile yang juga mengalami masalah kekurangan bekalan makanan yang sangat teruk.

Islamic Relief Sudan kini sedang merangka pelan tindakan untuk membantu penduduk terjejas dalam masa yang terdekat meliputi pelbagai kawasan di negara itu.

Krisis Makanan di Afghanistan Semakin Memburuk

AFGHANISTAN, 3 Ogos 2021 – Sekurang-kurangnya 14 juta orang berdepan ancaman kebuluran di Afghanistan manakala 9.5 juta lagi berada dalam fasa kecemasan makanan tahap ketiga.

Antara punca yang menyebabkan krisis makanan di negara itu menjadi semakin teruk adalah kerana konflik berpanjangan hampir 40 tahun, bencana alam seperti kemarau dan banjir, kenaikan harga makanan dan masalah pengangguran.

Gelombang COVID-19 yang semakin menular juga turut memburukkan lagi keadaan semasa di sana.

Selain menyumbang kepada peningkatan tekanan emosi dan jangkitan penyakit, jutaan penduduk kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera bagi meneruskan kelangsungan hidup manakala ratusan ribu lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka setiap tahun.

Bekalan makanan dan kemudahan sumber air yang terhad menambahkan lagi tekanan sedia ada.

Angka kebuluran di Afghanistan dijangka meningkat sehingga separuh daripada populasi penduduk menjelang penghujung tahun ini.

Islamic Relief Afghanistan telah mengenalpasti keperluan utama penduduk terjejas antaranya bantuan makanan, kehidupan mampan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH), perlindungan dan barangan bukan makanan (NFI).

Pelan bantuan yang telah dirangka akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan melibatkan kawasan yang paling teruk terjejas seperti Kabul, Nangarhar, Balkh, Herat, Daykundi dan Faryab.

Islamic Relief akan bekerjasama dengan rakan kemanusiaan lain serta pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses pelaksanaan bantuan yang akan memberi manfaat kepada lebih 210,000 orang.

Insiden Kebakaran di Turki Ragut Lapan Nyawa

TURKI, 2 Ogos 2021 – Sekurang-kurangnya lapan maut dalam insiden kebakaran di wilayah selatan Turki.

Antara kawasan yang terlibat dengan bencana ini ialah Antalya, Mersin, Osmaniye, Adana, Kahramanmaras, Mugla, Kirikkale dan Kayseri.

Usaha mengawal kebakaran yang berlaku di 14 kawasan hutan masih diteruskan sementara 57 kawasan lagi sudah berjaya dipadamkan.

Usaha-usaha memadamkan kebakaran dijalankan oleh 4,000 petugas, lima pesawat udara, 45 helikopter, sembilan pesawat dan satu helikopter tanpa jurupandu, 55 kenderaan berat, 680 lori pemadam kebakaran dan satu tangki air.

Selain daripada bantuan daripada pihak kerajaan, banyak pihak lain juga turut serta membantu antaranya ‘Disaster and Emergency Management Presidency’ (AFAD), Persatuan Bulan Sabit Merah di Turki dan juga pasukan mencari dan menyelamat yang lain.

Islamic Relief Turki kini sedang bersiap siaga untuk memberikan bantuan berdasarkan situasi semasa.

Insiden Kebakaran di Turki Ragut Lapan Nyawa

TURKI, 2 Ogos 2021 – Sekurang-kurangnya lapan maut dalam insiden kebakaran di wilayah selatan Turki.

Antara kawasan yang terlibat dengan bencana ini ialah Antalya, Mersin, Osmaniye, Adana, Kahramanmaras, Mugla, Kirikkale dan Kayseri.

Usaha mengawal kebakaran yang berlaku di 14 kawasan hutan masih diteruskan sementara 57 kawasan lagi sudah berjaya dipadamkan.

Usaha-usaha memadamkan kebakaran dijalankan oleh 4,000 petugas, lima pesawat udara, 45 helikopter, sembilan pesawat dan satu helikopter tanpa jurupandu, 55 kenderaan berat, 680 lori pemadam kebakaran dan satu tangki air.

Selain daripada bantuan daripada pihak kerajaan, banyak pihak lain juga turut serta membantu antaranya ‘Disaster and Emergency Management Presidency’ (AFAD), Persatuan Bulan Sabit Merah di Turki dan juga pasukan mencari dan menyelamat yang lain.

 

 

Islamic Relief Turki kini sedang bersiap siaga untuk memberikan bantuan berdasarkan situasi semasa.

Keadaan Covid-19 di Indonesia Semakin Kritikal

INDONESIA, 30 Julai 2021 – Lebih 1,000 nyawa dilaporkan terkorban setiap hari di Indonesia sejak 16 Julai lalu ekoran pandemik COVID-19.

Angka ini dikatakan terus konsisten setiap hari lantas menjadikan Indonesia, negara yang mempunyai jumlah kes positif harian tertinggi di dunia melebihi India dan Brazil.

Hospital di kepulauan Jawa dan Bali terpaksa ditutup berikutan kekurangan bekalan oksigen.

Setakat ini, lebih tiga juta penduduk Indonesia telah dijangkiti virus ini manakala angka kematian sudah mencecah 83,000 orang.

Situasi varian delta yang mula menular di negara itu juga kian membimbangkan kerana ia merebak dengan begitu pantas, manakala kadar vaksinasi masih di tahap paling rendah di mana kurang daripada tujuh peratus rakyat Indonesia yang sudah divaksin.

Islamic Relief Indonesia kini sedang memantau keadaan semasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan rakan kemanusiaan lain.

Antara keperluan mendesak yang dikenalpasti khususnya di Jakarta adalah bantuan perubatan yang kini hampir terputus bekalan.

Banjir Di India Ragut 251 Nyawa

MAHARASHTRA, 27 Julai 2021 – Seramai 251 orang terkorban manakala 50 lagi cedera dalam insiden banjir dan tanah runtuh yang melanda kawasan barat Maharashtra, India ekoran taburan hujan lebat sejak 22 Julai lalu.

Lapan orang pesakit Covid-19 di hospital bandar Chiplun, Ratnagiri juga terkorban berikutan air banjir sudah memasuki kawasan itu.

Sepuluh daerah yang dilaporkan terjejas teruk melibatkan kawasan Kolhapur, Raigad, Sangli, Satara, Ratnagiri, Thane, Mumbai Suburban, Sindhudurg, Pune, Wardha.

Seramai 229,074 orang telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.

Sebanyak 253 pusat bantuan telah diwujudkan di Kolhapur dan enam lagi di Ratnagiri bagi menempatkan 7,832 orang penduduk terjejas.

Setakat ini, 3,284 haiwan terkorban di kawasan terlibat manakala di daerah Sangli sahaja, 17,300 haiwan ternakan dilaporkan turut mengalami nasib yang sama.

Kerja-kerja menyelamat dan aktiviti penyaluran bantuan telah dilaksanakan oleh Unit Kawalan Pantai, Tentera Laut dan Darat India.

Mereka banyak tertumpu di kawasan Ratnagiri dan Raigad manakala pasukan Tentera Udara India pula tertumpu di Chiplun Ratnagiri.

Kerajaan pusat dan kawasan setempat telah mengambil langkah drastik dengan mengarahkan 34 pasukan ‘National Disaster Response Force’ (NDRF) dan empat pasukan ‘State Disaster Response Force’ (SDRF) untuk membantu penduduk terjejas.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan bantuan pampasan lebih RM11,000 akan diberikan kepada keluarga individu yang terkorban manakala pampasan untuk penduduk cedera pula sebanyak lebih RM2,800 seorang.

Islamic Relief India kini sedang memantau keadaan semasa dan sentiasa bersiap siaga untuk membantu penduduk terjejas.