Krisis Makanan di Afghanistan Semakin Memburuk

AFGHANISTAN, 3 Ogos 2021 – Sekurang-kurangnya 14 juta orang berdepan ancaman kebuluran di Afghanistan manakala 9.5 juta lagi berada dalam fasa kecemasan makanan tahap ketiga.

Antara punca yang menyebabkan krisis makanan di negara itu menjadi semakin teruk adalah kerana konflik berpanjangan hampir 40 tahun, bencana alam seperti kemarau dan banjir, kenaikan harga makanan dan masalah pengangguran.

Gelombang COVID-19 yang semakin menular juga turut memburukkan lagi keadaan semasa di sana.

Selain menyumbang kepada peningkatan tekanan emosi dan jangkitan penyakit, jutaan penduduk kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera bagi meneruskan kelangsungan hidup manakala ratusan ribu lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka setiap tahun.

Bekalan makanan dan kemudahan sumber air yang terhad menambahkan lagi tekanan sedia ada.

Angka kebuluran di Afghanistan dijangka meningkat sehingga separuh daripada populasi penduduk menjelang penghujung tahun ini.

Islamic Relief Afghanistan telah mengenalpasti keperluan utama penduduk terjejas antaranya bantuan makanan, kehidupan mampan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH), perlindungan dan barangan bukan makanan (NFI).

Pelan bantuan yang telah dirangka akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan melibatkan kawasan yang paling teruk terjejas seperti Kabul, Nangarhar, Balkh, Herat, Daykundi dan Faryab.

Islamic Relief akan bekerjasama dengan rakan kemanusiaan lain serta pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses pelaksanaan bantuan yang akan memberi manfaat kepada lebih 210,000 orang.