Penduduk Afghanistan Perlu Bantuan Kemanusiaan Segera

AFGHANISTAN, 16 Ogos 2021 – Seramai 31,535 pelarian dalam negara (IDPs) di barat Afghanistan dan 8,470 penduduk di utara negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan.

Konflik yang melanda negara itu telah mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri. Setakat Julai hingga pertengahan Ogos, seramai 10,350 IDPs tiba di Kabul untuk mendapatkan perlindungan manakala 28,000 penduduk Kunar hilang tempat tinggal dan kini berlindung di Nangarhar.

Seramai 6,900 orang telah menerima bantuan kemanusiaan berbentuk makanan, kesihatan, alatan keperluan rumah, air dan sanitasi manakala bantuan tambahan bakal tiba dalam masa terdekat.

Isu ancaman kekurangan makanan dijangka menjadi lebih kritikal di mana setakat ini, sudah ada lebih 10 juta penduduk berada dalam fasa kecemasan makanan tahap tiga dan empat.

Islamic Relief Afghanistan telah mengenalpasti lokasi yang memerlukan bantuan kemanusiaan segera melibatkan kawasan Kabul, Balk dan Nangarhar.

158 Keluarga Terkesan Pandemik Di Sarawak Terima Bantuan Pek Makanan

SARAWAK, 7 Ogos 2021 – Seramai 158 buah keluarga di Kuching, Bau, Asajaya, Sri Aman, Lundu, Sematan dan Simunjan, Sarawak telah menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia.

Antara keperluan lain yang turut diberikan ialah lampin pakai buang dan susu formula untuk 73 bayi dan lima orang dewasa.

Objektif program ini dijalankan tidak lain untuk meringankan beban penduduk terkesan akibat pandemik COVID-19 secara menyeluruh tanpa mengira apa jua bentuk perbezaan.

“Penerima manfaat B40 dan ke bawah yang terpilih terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kurang upaya (OKU), ibu tunggal juga keluarga bukan Islam.

“Gerak kerja agihan bantuan dijalankan secara berperingkat selama lebih lima hari ekoran kekangan masa dan pergerakan perjalanan yang terhad,” kata Fadhlullah Padil, Pegawai Kanan Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Pelaksanaan edaran bantuan ini dilakukan dengan kerjasama rakan kemanusiaan Islamic Relief Malaysia iaitu Persatuan Orang Cacat Bumiputera Sarawak (POCBUS), Unit Saudara Kita (USK) Cawangan Sri Aman, Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) Cawangan Kuching, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Simunjan, ketua komuniti setempat dan kumpulan sukarelawan.

Rata-rata penerima manfaat menzahirkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan.

Semoga usaha kecil ini dapat menjadi pengubat duka mereka yang sedang diuji untuk terus kuat meneruskan kelangsungan hidup.

Insiden Kebakaran Hutan Di Albania Ragut Satu Nyawa

ALBANIA, 6 Ogos 2021 – Sekurang-kurang seorang terkorban dalam insiden kebakaran hutan yang telah merebak dari kawasan utara hingga selatan Albania.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Agensi Kecemasan Sivil negara itu, kebakaran yang berlaku melibatkan kawasan hutan dan padang ragut di 13 daerah di mana sembilan daripada lokasi tersebut masih dalam keadaan aktif.

Pihak berkuasa tempatan sedang merangka untuk mendapatkan bantuan sokongan daripada badan Kesatuan Eropah (EU) serta pihak berkuasa di Kosova, Itali dan Croatia.

Islamic Relief Albania kini sedang memantau keadaan semasa dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya dalam masa terdekat.

28.5 Juta Penduduk Ethiopia Perlu Bantuan Kemanusiaan

Ethiopia, 6 Ogos 2021 – Seramai 28.5 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di Ethiopia manakala di wilayah Tigray sahaja angka penduduk terjejas telah meningkat daripada 4.5 juta kepada 5.2 juta orang.

Hal ini berikutan konflik berpanjangan di wilayah Tigray, Wollega dan Benishagul selain isu serangan haiwan perosak, bencana alam seperti banjir dan kemarau serta kesan sosioekonomi impak pandemik COVID-19.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), laluan masuk ke wilayah Tigray sudah bertambah baik selepas pengisytiharan gencatan senjata diumumkan.

Bagaimanapun, kerja-kerja penghantaran bantuan kemanusiaan masih tidak dapat dilaksanakan secara meluas ekoran kekurangan sumber bekalan petrol, wang tunai dan barangan keperluan lain.

Lebih 200 trak yang membawa bekalan bantuan untuk penduduk terjejas di Tigray kini masih terkandas di Afar ekoran pertembungan antara-puak-puak bertelagah sudah merebak ke wilayah itu sejak lebih dua minggu lalu.

Semua penerbangan ke wilayah Semara-Afar turut dihentikan sejak 17 Julai.

Seramai 69,000 penduduk wilayah Afar menjadi pelarian dalam negara dan ada yang terpaksa melarikan diri dan berlindung di bandar Semara dan Lagia.

Setakat ini, Islamic Relief Ethiopia telah mengedarkan bantuan makanan kepada 670 keluarga dan bantuan barangan bukan makanan (NFI) antaranya selimut, kelambu, plastik penebat haba, alatan memasak, kit kebersihan dan perlindungan kepada 360 keluarga di Yallow Woreda, Afar.

Islamic Relief sedang merangka pelan untuk membina pusat operasi sementara di Mekella bagi melancarkan proses penyaluran bantuan kepada lebih 18,000 penduduk terjejas.

Risiko Kebuluran Ancam Penduduk Nigeria

NIGERIA, 3 Ogos 2021 – Seramai 4.4 juta penduduk di timur laut Nigeria melibatkan wilayah Borno, Adamawa dan Yobo sedang berdepan ancaman kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.

Kira-kira 800,000 orang kini berada dalam krisis atau kecemasan kebuluran tahap empat manakala 12.2 juta lagi penduduk di seluruh Nigeria tergolong dalam tahap ketiga.

Seramai 300,000 kanak-kanak dilaporkan menghadapi masalah kekurangan zat makanan.

Konflik bersenjata di negara itu telah menyebabkan 1.75 juta orang melarikan diri ke kem atau pusat tumpangan di Nigeria manakala puluhan ribu lagi terpaksa mencari perlindungan di negara jiran.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Yobe Tengah dan Utara serta Borno Utara dan Timur.

Di Borno sahaja, terdapat 81 peratus pelarian dalam negara tinggal berlindung di sana.

Dijangkakan, masalah kekurangan makanan dan nutrisi ini akan menjadi lebih kritikal dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Keadaan ini boleh mengakibatkan peningkatan jumlah penyakit bawaan air seperti diarea, malaria dan demam campak.

Selain masalah kebuluran, antara isu lain yang perlu diberi perhatian khusus ialah masalah kekurangan sumber air, sanitasi dan kebersihan (WASH), bantuan perlindungan dan keganasan berasaskan jantina (GBV).

Islamic Relief kini sedang merangka pelan bantuan untuk membantu penduduk terjejas dengan kerjasama rakan kemanusiaan yang sudah melaksanakan program bantuan makanan di Nigeria.

Gerak kerja akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kemarau Terburuk di Madagascar, Penduduk Diancam Kebuluran

MADAGASCAR, 3 Ogos 2021 – Seramai 400,000 penduduk di Madagascar sedang berdepan ancaman kebuluran ekoran kemarau berpanjangan yang melanda negara itu dan dikatakan yang terburuk sejak 1981.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila tanaman mereka turut musnah akibat rebut pasir dan diserang haiwan perosak hingga menyebabkan sektor pertanian negara itu mengalami kerugian besar.

Ribuan penduduk terpaksa makan apa sahaja yang ada untuk mengalas perut termasuk makanan tidak selamat antaranya belalang, kaktus, daun dan lumpur demi kelangsungan hidup.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), kira-kira 1.14 juta orang mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan di negara itu.

Seramai 392,000 orang sudah beradadalam fasa kecemasan kebuluran tahap empat.

Sekiranya bantuan tidak disalurkan dengan segera, angka ini dijangka bertambah dua kali ganda menjelang Oktober ini.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian, jumlah penduduk yang berada dalam tahap kecemasan kebuluran keempat boleh meningkat kepada 484,000 manakala jumlah individu dalam kecemasan kebuluran di tahap kelima pula boleh meningkat menjadi 28,000 orang.

Islamic Relief dengan kerjasama rakan kemanusiaan di Madagascar telah merangka pelan bantuan untuk membantu penduduk terjejas bagi tempoh 3 hingga 6 bulan melibatkan bantuan makanan dan kehidupan mampan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.