Gempa Bumi 7.4 Magnitud Gegar Nusa Tenggara Timur, Indonesia

JAKARTA, 14 Disember 2021 – Gempa bumi dengan skala 7.4 magnitud melanda Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada jam 10.20 pagi waktu tempatan, kira-kira 11.20 pagi waktu Malaysia.

Pusat gempa dilaporkan terletak di bahagian timur Pulau Flores, iaitu sekitar 89 kilometer dari kawasan barat laut Larantuka.

Kejadian ini mengakibatkan bangunan, rumah, sekolah dan juga masjid di kepulauan Selayar di selatan Sulawesi runtuh dan rosak.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Amaran tsunami yang telah dikeluarkan oleh Agensi Meterologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah ditarik semula.

Islamic Relief Indonesia kini sedang memantau keadaan semasa dan bersiap sedia untuk membantu penduduk terjejas.