Pelarian Syria berdepan ancaman hujan salji lebat dan banjir

SYRIA, 22 Januari 2022 – Sebanyak 22 pusat penempatan pelarian Syria di Afrin dan Azaz, Aleppo serta 9 lagi kawasan di Harim, Idleb dilaporkan terjejas ekoran hujan salji lebat yang melanda barat laut Syria pada 18 Januari lalu.

Kejadian itu turut mengakibatkan khemah serta barangan penghuni kem pelarian rosak.

Menurut penilaian kakitangan Islamic Relief, seramai 57,000 pelarian Syria dan 104 pusat penempatan mereka terjejas sejak awal Januari lalu.

Hujan lebat yang melanda Syria bermula sejak akhir Disember 2021, telah berlarutan sehingga pertengahan Januari 2022 di beberapa kawasan serta kem pelarian dalam negara (IDPs).

Antara keperluan utama yang mendesak ketika ini ialah bantuan tempat perlindungan, makanan dan kelengkapan musim sejuk.

Menurut ramalan kaji cuaca, hujan salji lebat dijangka akan berterusan dan dibimbangi bencana banjir akan melanda kebanyakan kem pelarian apabila salji mula cair.

Islamic Relief kini masih meneruskan edaran bantuan kelengkapan musim sejuk seperti alat pemanas iaitu pirina, plastik penebat haba, tilam dan bantuan perlindungan.

Setakat ini, lebih daripada 60,000 penerima manfaat di beberapa kem IDPs di barat laut Syria telah berjaya disantuni menerusi program bantuan musim sejuk.