Masih Ada Yang Peduli

“Selama lebih 40 tahun pakcik tinggal di sini, inilah kali pertama program korban dilaksanakan di kawasan ini. Tak sangka masih ada yang peduli tentang kami” – luahan penerima manfaat Rezeki Qurban.

Tahun ini merupakan tahun kedua kita meraikan sambutan Aidiladha dalam suasana pandemik.

Meskipun begitu, tuntutan dalam melaksanakan ibadah korban tetap terus dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan agensi berkenaan.

Bagi Islamic Relief Malaysia pula, pelaksanaan ibadah korban bukan hanya sekadar untuk menzahirkan kesyukuran kita atas nikmat yang dikurniakan Allah, malahan ia lebih kepada menjadi jawapan bagi doa-doa penerima manfaat yang hanya dapat merasai nikmat juadah daging sekali dalam setahun atau mungkin sekali seumur hidup.

“Pakcik sudah tinggal di Pulau Jampiras ini kira-kira 43 tahun. Selama kami tinggal di sini, inilah kali pertama ada pihak luar yang datang dan menjalankan ibadah korban serta mengedarkan daging korban kepada kami. Kami rasa sangat terharu dan berterima kasih sangat kepada semua yang menyumbang dan membantu kami.

“Tak sangka masih ada yang peduli akan nasib kami walaupun kami bukan penduduk tempatan,” kata penerima manfaat program Rezeki Qurban di Sandakan, Sabah.

Komuniti yang tinggal di Pulau Jampiras merupakan penduduk bukan warganegara atau ‘stateless’.

Selain sumbangan daging korban, Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyantuni penduduk di kawasan Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) ini dengan bantuan pek makanan dan kit kesihatan seperti pelitup muka serta pencuci tangan menerusi program bantuan Covid-19.

Hikmah Di Sebalik Covid-19

Meskipun pandemik yang melanda telah melumpuhkan ekonomi dunia serta menjejaskan pendapatan banyak pihak namun keprihatinan masyarakat kita dalam berkongsi rezeki masih di tahap yang tinggi.

Di media sosial khususnya, jika ada sahaja kisah kemiskinan yang tular, pasti keluarga yang terbabit akan segera dihubungi dan bantuan akan sampai dengan pantas.

Sesungguhnya ujian yang datang telah mengajar kita supaya sentiasa memberi tanpa menunggu kaya kerana kita sama-sama pernah merasai sukarnya hidup saat tidak punya apa-apa.

Dari sudut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula, respon dan sokongan yang diterima daripada masyarakat tidak pernah putus walaupun ada individu yang dahulunya penyumbang, namun kini sudah bertukar status menjadi penerima ekoran masalah dibuang kerja dan sebagainya.

“Alhamdulillah, seramai 1,390 keluarga B40 dan ke bawah bersamaan hampir 7,000 penerima manfaat berjaya disantuni dengan sumbangan 1 – 2 kilogram daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha melibatkan penyembelihan 21 ekor lembu di semenanjung dan Sabah, hasil sumbangan daripada MBSB Bank dan pelaksanaan korban peserta.

“Jumlah ini sangat jauh daripada sasaran awal kami dan saya mewakili keluarga besar Islamic Relief ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan menerusi sumbangan dan penyertaan ibadah korban melalui kempen Rezeki Qurban #zahirkankesyukuran anjuran Islamic Relief Malaysia pada tahun ini,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.

Proses gerak kerja edaran daging korban yang telah dijalankan mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysian Relief Agency (MRA), MyAmal Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), ketua komuniti setempat, ahli persatuan penduduk dan kumpulan sukarelawan. Bagi agihan di Kuala Lumpur, ianya turut mendapat kebenaran dari pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Antara lokasi penerima manfaat edaran daging korban di Malaysia ialah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3A, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3B, Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Kuala Lumpur; Pulau Jampiras, Sandakan; Kampung Bungaliu, Tamparuli; Kampung Sambah, Tenghilan; Kampung Tambulion, Kota Belud; Kampung Perpaduan Ria, Kampung Simpang Mengayau, Kampung Matunggong, Sekolah Tahfiz di Kudat dan Kampung Penangah di Tongod, Sabah.

Untuk makluman, Islamic Relief Malaysia pada awalnya menyasarkan 943 penyertaan bahagian korban yang akan diagihkan kepada penerima manfaat di 28 buah negara seperti Yaman, Somalia, Palestin dan banyak lagi namun dengan sambutan yang amat menggalakkan, penyertaan telah meningkat sehingga jumlah bahagian korban mencapai 1,389 bahagian.

Tiada Daya Dan Pilihan, Inilah Realiti Hidup Warga Pelarian Dan Penduduk di Negara Konflik

“Harga daging sangat mahal. Satu kilogram daging dijual pada harga lebih RM65 sedangkan gaji suami saya hanya RM20 sahaja sehari.

“Menu daging memang tiada dalam juadah kami sepanjang tahun kecuali pada hari raya Aidiladha. Itu pun sekiranya kami terpilih sebagai penerima bantuan sumbangan daging korban.

“Kehadiran perayaan Aidiladha memberi makna besar buat kami sekeluarga. Sepanjang tahun saya dan suami akan berdoa dan berharap agar ada rezeki daging korban untuk anak-anak kami khususnya,” kata Samrat Baker Badwan, penduduk Gaza, Palestin.

Tiga daripada sembilan orang anak Samrat disahkan menghidap penyakit darah rendah dan mengalami masalah tumbesaran terbantut akibat kekurangan nutrisi.

Kemiskinan yang menghimpit menyebabkan Samrat terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan pemeriksaan kesihatan anak-anaknya kerana dia sedar tiada apa yang akan berubah.

Dia tidak mampu untuk menyediakan makanan seimbang dan vitamin tambahan untuk anak-anaknya seperti yang disarankan oleh doktor.

Perit, namun inilah realiti yang menunjukkan betapa besarnya impak sumbangan daging korban bagi kebanyakan penerima manfaat program Qurban Islamic Relief di negara bergolak.