Nak Seribu Daya!

Kekurangan kadangkala bukan penghalang. Kecacatan kekal yang dialami sejak lahir tidak pernah sekali-kali menjadi tembok penghalang untuk Syamberli, 51 tahun meneruskan kelangsungan hidup atas daya usaha sendiri.

 

Dia juga tidak pernah membiarkan dirinya terus dipandang lemah oleh masyarakat meski langkah kakinya tidak selincah insan normal lain.

 

Anak kelahiran jati Pidi, Indonesia ini sememangnya terlatih cekal sejak di bangku sekolah. Semangat yang kental membawa dia merantau ke Palembang untuk menuntut ilmu kemahiran di bidang elektrik.

 

Selepas 3 tahun, dia kembali ke tanah asal kelahirannya dengan membawa cita-cita besar untuk mengubah nasib diri keluar dari kesusahan yang menghimpit.

 

Berbekal semangat yang kental, Syamberli mengumpul modal sedikit demi sedikit lalu membuka kiosk niaga untuk menyara keluarga berdekatan rumahnya. Kiosk itu ibarat rumah kedua yang menjadi saksi jatuh bangun Syamberli dalam mencari sesuap nasi selama hampir 25 tahun.

 

“Alhamdulillah, ramai juga pelanggan yang datang ke kedai saya walaupun terdapat kedai lain menawarkan perkhidmatan membaiki alat elektrik yang sama. Saya sentiasa percaya rezeki setiap orang sudah tertulis dan setiap orang ada rezeki masing-masing,” kata Syamberli.

 

Tambahnya, meski keuntungan yang diperolehi tidak menentu namun cukup untuk dia, isteri dan dua orang anaknya meneruskan kelangsungan hidup dalam penuh kesederhanaan.

 

Sepanjang Syamberli berkongsi kisah jerih payah hidupnya dan keluarga kepada delegasi Islamic Relief, isterinya Juwaidiah, 41 tahun tetap setia menemani dan memberi semangat kepada sang suami yang kadangkala kelihatan gugup untuk berbicara.

 

Bagi kami, perwatakan Juwaidiah yang ceria dan sentiasa tersenyum mesra menjadi salah satu sumber kekuatan kepada Syamberli. Mereka saling melengkapi dan sentiasa bersyukur dengan nikmat rezeki yang diperolehi meski pada pandangan mata kasar, kehidupan mereka tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

 

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Kiosk niaga yang menjadi medan juang untuk syamberli mencari nafkah musnah dalam tragedi gempa bumi dan tsunami yang membadai Aceh khususnya di kawasan Pidie Jaya pada tanggal 7 Disember 2016.

 

Berdasarkan laporan berita susulan kejadian waktu itu, kira-kira 97 orang telah terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera dalam siri gempa bumi sekuat 6.4 skala Richter.

 

Syamberli antara penduduk yang terjejas teruk ekoran insiden yang berlaku sekitar jam 5 pagi.

 

“Sewaktu kejadian, saya terperangkap di dalam rumah. Ada dinding nak jatuh dan hampir sahaja menimpa saya, mujur anak lelaki saya sempat mengangkat dan membawa saya ke luar kerana saya tidak mampu bergerak pantas untuk menyelamatkan diri kerana kecacatan kaki saya,” cerita Syamberli dengan penuh syukur.

 

Tambahnya, hening subuh yang biasanya dihiasi bunyi unggas dan kokokan ayam bertukar menjadi hingar. Kedengaran suara teriakan berselang seli dengan deruan tapak kaki manusia yang sedang berlari mencari tempat untuk berlindung.

 

Reaksi cemas jelas terpancar diwajah delegasi Islamic Relief ketika syamberli berkongsi detik panik itu. Mana tidaknya, cara dan gaya penceritaan syamberli yang penuh kesungguhan seolah membawa kami menerobos masa lalu bersamanya.

 

“Kejadian itu bukan sahaja meranapkan kiosk saya malah rumah kami juga musnah dan menghempap motor roda tiga saya. Hampir setahun kami terpaksa tinggal di dalam khemah di bahagian depan rumah,” kata Syamberli.

 

Apabila pegawai Islamic Relief bertanyakan tentang makan-minum serta sumber pendapatan sepanjang tinggal di dalam khemah, dia dan isteri hanya tersenyum. Mereka kelihatan berat untuk bercerita lebih lanjut mengenai hal itu. Mungkin pengalaman yang dilalui terlalu pahit untuk dikenang.

 

Selepas setahun, Syamberli menerima bantuan rumah sementara daripada Pemerintah Indonesia. Dia kembali menjalankan kerja-kerja membaiki alat elektrik di rumahnya. Setiap hari dia akan menaiki motor roda tiga mencari pelanggan di sekitar kawasan kediamannya.

 

“Pendapatan memang kurang apabila melakukan kerja membaiki barangan elektrik di rumah. Tapi, cukuplah apa adanya. Awal 2018, permulaan baik untuk saya. Saya menerima tawaran mengikuti kursus latihan membaiki alatan elektrik yang lebih menjurus kepada alatan kegunaan rumah seperti periuk nasi, televisyen, kipas, mesin pengisar dan banyak lagi oleh Islamic Relief,” jelas Syamberli dengan wajah ceria.

 

Pada awalnya, Syamberli merasa tidak percaya di atas tawaran yang diberikan memandangkan usianya yang sudah lanjut. Namun, pegawai Islamic Relief yang membawa khabar baik itu menjelaskan bantuan Islamic Relief sangat menyeluruh dan tidak pernah meletakkan apa-apa perbezaan sebagai halangan sekiranya penerima manfaat benar-benar layak.

 

“Para peserta OKU yang terpilih dalam bantuan latihan fasa pertama ini terdiri daripada penduduk yang terjejas dalam bencana gempa bumi penghujung tahun 2016 dan yang tidak terjejas tetapi turut dihimpit kemiskinan,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.

 

Bantuan kursus latihan yang diterima oleh Syamberli adalah hasil tajaan Maybank Islamic Berhad di bawah projek Livelihood Recovery For Disable People (LIRE4D). Seramai 100 peserta telah mengikuti latihan ini sebagai usaha untuk membantu mengupayakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pidie Jaya, Acheh.

 

“Maybank Islamic memang sudah lama terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan seperti ini. Kami menitikberatkan tanggungjawab maqasid syariah dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan untuk membantu golongan memerlukan,” kata Zainal Abidin Jamal, Pengerusi Maybank Islamic Berhad.

 

Terdapat 4 kursus latihan yang ditawarkan untuk golongan OKU iaitu menjahit, kraftangan, asas elektronik dan perusahaan penanaman cendawan tiram.

 

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Maybank Islamic Berhad, Islamic Relief Malaysia dan Indonesia atas sokongan bantuan yang diberikan. Saya berharap dapat membuka kiosk kembali untuk menambah pendapatan keluarga,” kata Syamberli.

 

Islamic Relief dan Maybank Islamic Berhad mendoakan agar impian setiap penerima manfaat yang mengikuti kursus ini tercapai seterusnya kemahiran yang dipelajari dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan dikongsi bersama untuk pembangunan ekonomi penduduk setempat.