Memperingati Israk Mikraj

Jika peristiwa Israk Mikraj tidak berlaku pada 27 Rejab, sudah pasti umat Islam hari ini akan menunaikan solat lebih daripada lima waktu. Secara amnya, peristiwa Israk Mikraj merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril bertemu Allah SWT yang merupakan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu.

 

Melalui peristiwa ini, ia sebenarnya merupakan salah satu tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang perlu dihayati sebaik mungkin. Allah juga ingin mengingatkan umat manusia bahawa betapa besar kekuasaanNya melalui sebuah peristiwa yang dilihat ganjil dan di luar jangkaan manusia.

 

Peristiwa ini telah diceritakan dalam Al-Quran oleh Allah SWT melalui surah Al-Isra’ ayat 1 dan 60:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”Surah Al-Isra:01.

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.”Surah Al-Isra:60.

 

Selain itu, peristia Israk Mikraj juga adalah hadiah kepada kesedihan Rasulullah SAW setelah Baginda menghadapi pelbagai dugaan yang agak berat terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah baginda. Baginda turut diusir oleh penduduk di Kota Thaif.

 

Dalam pada itu, kehilangan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib juga menjadi punca kedukacitaan Rasulullah SAW dan apa yang menyedihkan, bapa saudara Baginda meninggal dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Malah, Rasulullah SAW terus diuji apabila isterinya Siti Khadijah Khuwailid meninggal dunia.

 

Selain bukti kebesaran Allah SWT dalam peristiwa Israk Mikraj, ia juga diciptakan bagi mengukuhkan kemuliaan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah yang terakhir di muka bumi. Maka dengan kehadiran Israk Mikraj inilah  membuktikan kerasulan baginda Rasulullah SAW dan ia perlu sentiasa diperingati.

 

Seperti yang diceritakan dalam kitab suci Al-Quran, peristiwa Mikraj adalah perjalanan Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha iaitu tempatnya di mana Baginda mendapat perintah Allah SWT untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Pada awalnya, perintah mendirikan solat adalah sebanyak 50 waktu, namun Baginda memohon agar perintah itu dikurangkan sehingga lima waktu seperti yang ditunaikan hari ini.

 

Meskipun peristiwa Israk Mikraj tidak digambarkan dan melangkaui imaginasi kita sebagai manusia biasa yang lemah, orang yang beriman wajib meyakini peristiwa itu. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahajalah mengetahui setiap kejadian yang berlaku melalui kekuasaanNya. Apa yang perlu disemat dalam hati adalah nikmat iman yang telah dikurniakan Allah SWT dan menerusi solatlah akan membukti keimanan kita kepadaNya.