Keruncingan Tahap Kesihatan Penduduk Gaza

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya bahawa Gaza bakal menjadi wilayah yang tidak sesuai didiami pada 2020. Namun Pengarah Negara Islamic Relief di Palestine, Muneeb Abu Al-Ghazali telah menyatakan Gaza kini tidak sesuai didiami.

Di Gaza, pencemaran air kian berleluasa, sampah-sarap banyak dibuang ke dalam laut dan merosakkan lagi alam sekitar, isu sisa pepejal bertambah rumit akibat ketiadaan peralatan yang lengkap ekoran undang-undang ketat yang diwujudkan oleh pihak Israel, kadar kemurungan dalam kalangan remaja juga semakin meningkat.

Impak taraf kesihatan yang kian merudum telah menampakkan kesannya beberapa bulan lalu. Keadaan penduduk Gaza yang sering jatuh sakit seolah-olah menjadi budaya baru mereka sehingga mendapat perhatian PBB untuk campur tangan bagi menangani isu ini.

Bukan sahaja bekalan ubat yang semakin berkurangan, malah kualiti kebersihan dan bekalan elektrik turut terjejas. Kebanyakan syarikat yang menyediakan servis pembersihan terpaksa ditutup atas faktor kekangan wang untuk membayar gaji. Selain bekalan elektrik, banyak hospital dan klinik utama terpaksa ditutup ekoran kekurangan bahan bakar.

Lebih menyedihkan, pesakit kronik yang ingin mendapatkan rawatan luar wilayah Gaza terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran; Tiada keizinan untuk meninggalkan Gaza, atau jika kelulusan diberi, tiada kos perjalanan dibekalkan. Walaupun sesetengah penduduk diberi kelulusan untuk meninggalkan Gaza, tempoh masa untuk memperoleh kelulusan memakan masa yang terlampau lama.

Berikutan kos rawatan yang melambung, kanak-kanak yang mewarisi penyakit dari ibu bapa juga terpaksa menanggung derita atas faktor kemudahan rawatan yang begitu terhad di kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO). Malah, badan-badan ini juga kesempitan dana dalam menghulurkan bantuan.

Laporan terperinci boleh dibaca di sini untuk maklumat lanjut.