IRM Bantu Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Bangi, 29 Mac 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Madrasah Abdullah Ummi Maktum Al-Majidiah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM730,000.00 bagi membantu 40 pelajar OKU penglihatan melalui Projek Wakaf Mata Hati.

Projek pengupayaan OKU penglihatan yang dijangka berjalan selama 12 bulan itu akan menyediakan latihan dan kursus merangkumi kemahiran membaca Al-Quran Braille, kemahiran insaniah dan dakwah, kursus keusahawanan, kursus informasi dan komunikasi teknologi (ICT), serta kemahiran rawatan perubatan alternative.

Madrasah yang dibangunkan melalui projek itu juga bertujuan melahirkan serta menggalakkan lebih ramai golongan OKU penglihatan untuk menjadi ilmuwan dalam pengetahuan Al-Quran dan mampu menjana pendapatan sendiri menerusi kemahiran yang diperoleh sepanjang pelaksanaan program.

Bagi menjayakan projek ini, IRM turut menyediakan beberapa pelaksanaan program termasuklah pembelajaran dalam kelas, latihan praktikal, pembentangan, kerja berkumpulan, dan pembelajaran melalui penyelesaian masalah.

Untuk rekod, seramai 15% daripada 4.6 juta rakyat Malaysia adalah golongan OKU dan lebih daripada 700,000 penduduk mempunyai masalah visual dan penglihatan.

IRM berharap projek ini dapat menjadi titik ukhuwah dan jalinan kerjasama yang baik antara golongan OKU dan masyarakat setempat dalam membentuk komuniti yang bersatu padu.