“Siang dan malam saya dibebani dengan kisah-kisah yang menyeksa jiwa”

Bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia, sekalung penghormatan daripada kami kepada wira-wira kemanusiaan kami di lapangan.

Mohammed Hamza, 28, telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Ekonomi, Universiti Aleppo dan pada tahun 2012, beliau telah memohon untuk menyambung pengajian sarjananya dalam bidang Ekonomi di London School of Business and Finance. Impiannya terbengkalai apabila beliau terperangkap akibat konflik Syria sewaktu dalam perjalanan ke lapangan terbang:

“Oleh kerana peperangan meletus, saya tidak dapat kembali ke Aleppo, dan saya terperangkap di bahagian timur kotaGhouta/Damascus.

“Seluruh daerah telah terkepung dan dibedil dengan serang bom bertubi-tubi. Selama 18 bulan, tiada makanan langsung yang boleh dimakan, tetapi yang ada hanyalah sisa-sisa yang tinggal di jalanan.

“Akibat kebuluran, ramai yang terpaksa makan rumput dan daun-daun – apa-apa yang ada di sekeliling mereka kerana sudah tiada pilihan lain. Harga makanan dan keperluan asas meningkat dengan mendadak. Makanan menjadi terlalu mahal sehinggakan 1kg tepung harganya AS $30 dan 1kg gula mencecah $25.

“Setelah dua tahun kebuluran, kedukaan dan rasa gerun akan kematian, saya berjaya kembali ke kota Aleppo. Di sinilah saya mula terlibat dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

“Setelah perjalanan saya yang jauh ini, saya merasa terpanggil untuk melakukan apa sahaja yang saya mampu untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan meringankan penderitaan mereka. Saya mula bertugas sebagai pegawai pemantau lapangan untuk kawasan Aleppo dan Edlib.

 

mohammed in syria  

“Malapetaka ini amat buruk. Saya sukar melelapkan mata di waktu malam kerana apa yang saya lihat siang dan malam.

“Di Syria, kebuluran dan kematian berleluasa. Sukar untuk saya asingkan diri saya dari segala apa yang terjadi.

“Terlalu banyak kisah-kisah yang menyeksa jiwa saya siang dan malam, namun kisah Nour yang berusia 12 tahun adalah kisah paling menyayat hati saya.

“Dahulunya, saya biasa menyampaikan bakul makanan Islamic Relief kepada keluarganya. Beliau dan ibunya sering beratur selama berjam-jam untuk mendapatkan makanan.

“Baru-baru ini saya telah terserempak Nour, setelah beliau kehilangan ibu dan adik lelakinya. Nour juga telah kehilangan sebelah matanya. Beliau menangis-nangis mahukan ibunya dan saya dan rakan-rakan menitiskan air mata melihat keadaan Nour.

“Ramai kanak-kanak Syria yang senasib dengan Nour. Saya buntu, saya tidak tahu apa yang boleh dikatakan atau bagaimana saya boleh membantu mereka.

“Ahmad, contohnya, baru berusia 16 tahun. Ahmad telah kehilangan bapanya beberapa bulan yang lalu. Minggu lepas, ibu, adik-adik lelaki dan perempuannya pula meninggal dunia apabila serangan roket dijatuhkan ke rumah mereka.

“Ahmad terpaksa menarik keluar jasad-jasad ahli keluarganya yang tidak lagi bernyawa. Dia memegang rambut ibunya – bahagian yang tersisa dari tubuhnya – dan meraung-raung supaya ibunya membawanya bersama.

“Bagaimana kita boleh membantu anak muda ini? Sukar tetapi perkara inilah yang telah membuatkan saya lebih kental dan lebih kuat untuk terus berkhidmat.

“Dengan adanya bantuan mereka yang bermurah hati dan kegigihan petugas kebajikan, kami akan meneruskan usaha kami untuk menerbitkan secebis harapan dan bantuan kepada mereka yang dilanda penderitaan.”