“Ramai yang sukar percaya kami ingin membantu mereka”

Bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia, sekalung penghormatan daripada kami kepada wira-wira kemanusiaan kami di lapangan.

Zina Shataeva merupakan salah seorang petugas sosial kami di dalam program tajaan satu-ke-satu yang sedang bertugas di Persekutuan Russia. Beliau telah berkhidmat selama lebih sedekad bersama Islamic Relief.

“Saya telah berkhidmat sebagai petugas sosial untuk Islamic Relief sepanjang 11 tahun yang lalu. Pada awalnya, kerja kami melalui fasa-fasa yang sukar, dan terdapat pelbagai punca perkara ini berlaku.

“Pada mulanya, kami mengenal pasti anak yatim dan cuba membangunkan sebuah pangkalan data anak yatim. Kami mengumpulkan data daripada sekolah dan kemudiannya melaksanakan pengesahan alamat.

“Kami tidak mempunyai sebarang pengangkutan yang disediakan khusus untuk tugasan kami, jadi kami terpaksa menggunakan pengangkutan awam. Ini sesuatu yang sukar, terutamanya jika kami ingin berkunjung ke kawasan pedalaman.

“Kami juga mendapati yang ramai orang enggan mempercayai kami dan tidak mahu memberikan maklumat berkenaan anak mereka. Mereka tidak benarkan kami mengambil gambar mereka, dan ramai yang bertanya ‘Mengapa kamu mahu gambar kami?’ dan ‘Apa yang kamu nak buat dengannya?’

“Ramai yang sukar percaya kami ingin membantu mereka. Kami perlu mempunyai kesabaran yang tinggi dan kekal tenang sepanjang masa untuk memenangi kepercayaan mereka.

“Waktu itu amat berbahaya, terdapat letupan setiap hari dan serangan pengganas di bandar adalah kejadian biasa. Saya telah menyaksikan banyak letupan di jalanan semasa saya bertugas, ramai orang akan berlari menyelamatkan diri dari kenderaan mereka sehinggalah keadaan selamat semula untuk bergerak.

“Allah telah menyelamatkan saya, mungkin kerana saya sedang membuat kerja-kerja kebajikan. Ramai anak yatim yang kehilangan ibu bapa mereka sewaktu serangan pengganas ini. Situasi itu benar-benar menggerunkan.

“Kini, tugas kami tidaklah sesukar atau menggerunkan seperti dahulu. Kini kami bertugas dalam keadaan yang lebih elok – tetapi faktor psikologinya masih kekal, setiap keluarga mempunyai kisah, masalah dan kesukaran yang tersendiri.

“Ramai antara mereka yang kehilangan tempat bergantung. Mereka berasa sunyi dan saya amat terkesan dengan perkara ini.

“Saya benar-benar berkongsi rasa yang sama apabila saya melihat ada keluarga menunggu tajaan dan kami berharap setiap dari kanak-kanak yang tersenarai dalam data kami akan mendapat bantuan. Saya berasa amat gembira apabila melihat kanak-kanak lain tersenyum.”