“Kami menyaksikan peristiwa itu dalam keadaan terkejut sambil menitiskan air mata”

Bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia, sekalung penghormatan daripada kami kepada wira-wira kemanusiaan kami di lapangan.

Semir Velija Kukuruzović adalah salah seorang ahli terawal pasukan kami di Bosnia dan Herzegovina sewaktu kami mula berkhidmat di sana pada tahun 1992 sebaik sahaja bermulanya peperangan.

Setelah tiga tahun berlalu, bekalan makanan semakin tidak menentu dan ramai penduduk BiH bergantung kepada bantuan kemanusiaan. Semir, yang kini menggalas jawatan pengarah negara itu, mengenang kembali:

“Mudah bagi manusia dewasa untuk berempati dan menerima keadaan sukar akibat kemiskinan apabila kita melihatnya. Tetapi, apakah yang boleh dikatakan kepada kanak-kanak berusia lima tahun, anak saudara saya, yang baru sahaja kehilangan bapanya dan dia sangat lapar?

“Saya ada sewaktu kanak-kanak itu meminta ibunya, iaitu kakak saya untuk melukiskan telur yang digoreng dalam kuali, kerana dia amat menyukai hidangan tersebut dan telah terlalu lama tidak dapat memakannya. Pada waktu itu, terlalu sukar untuk menemui telur ayam di Sarajevo.

“Setelah ibunya melukis apa yang budak lelaki ini inginkan, budak lelaki itu telah mengambil kertas lukisan tersebut, merenungnya, lalu merenyukkannya dan memasukkan kertas ini dalam mulut untuk menelannya. Kami terpana seketika, air mata kami menitis terkejut.

“Hari seterusnya, saya telah hadir ke pejabat dan salah seorang rakan saya yang menghidap diabetes dan sering berasa lapar, bertanyakan kepada kami apa yang kami ingin makan selama ini.

“Apabila tiba giliran saya menjawab soalan tersebut, saya cuma berkata yang saya inginkan sebiji telur supaya saya dapat menghadiahkannya kepada Ahmed, supaya beliau gembira. Saya telah bercerita kisah yang terjadi pada malam sebelumnya kepada mereka semua.

“Sewaktu saya bercerita kisah ini, salah seorang tetamu, Dr Wasim mendengar dengan penuh tumpuan. Selepas itu, semua orang berubah menjadi senyap dan berkurung di dalam pejabat mereka.

“Hari seterusnya, Dr Wasim telah datang ke pejabat dan meminta untuk bertemu saya dalam bilik berasingan. Setelah saya masuk untuk bertemunya, beliau telah mengeluarkan sebutir telur dari poketnya, dan memberitahu saya ia untuk Ahmed.

“Katanya, dia telah berkunjung ke batalion Mesir di pangkalan pasukan ketenteraan antarabangsa (yang berada di Bosnia sebagai pemerhati) untuk mendapatkan telur tersebut. Saya telah memeluk Dr Wasim dan sayalah orang paling gembira di dunia pada waktu itu.

“Saya telah berdoa kepadanya. Saya tidak sabar untuk menyelesaikan supaya saya dapat pulang ke rumah dan buertemu Ahmed.

“Saya berlari-lari pulang ke rumah, dan terus menunjukkan telur itu kepada Ahmed di pintu rumahnya. Setelah terjerit-jerit kegembiraan, Ahmed telah menunjukkan telur itu kepada ibunya. Ibunya telah memasak telur itu, dan Ahmed serta abangnya duduk makan, dan menjemput kami semua menyertainya. Kami berasa amat bahagia pada waktu itu.

“Setelah mereka selesai makan, anak buah saya yang berusia lima tahun itu bertanya:

“Pak cik, tangan mana yang telah membawa telur itu tadi?

“Kenapa?” bala saya.

Dia menyambung: ‘Saya ingin cium tangan itu’

Kami semua menangis kerana telah menyaksikan bagaimana sekecil-kecil perkara boleh menimbulkan kegembiraan pada seorang kanak-kanak dan bagaimana perkara kecil inilah yang sebenarnya mendatangkan kebahagiaan pada diri kita semua. Namun, kita manusia, dan kita sering kali cepat terlupa akan hakikat ini.

“Kisah ini akan terus menjadi peringatan kepada saya – dan kepada semua yang membacanya. Marilah kita mensyukuri segala apa yang kita miliki, dan janganlah kita menjadi tamak akan perkara yang tidak kita ada. Inilah jalannya untuk mencapai kebahagiaan sebenar.”