“Dia telah mengancam untuk mencederakan saya dengan pisau tajam yang besar”

Bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia, sekalung penghormatan daripada kami kepada wira-wira kemanusiaan kami di lapangan.

Edgar Morbos, seorang pegawai kanan program di Filipina kekal tenang, walaupun beliau diuji dengan tekanan yang hebat.

“Menguruskan komuniti adalah seperti satu pendakian yang curam, tetapi di puncak nanti, anda boleh melihat pemandangan yang serba indah. Saya telah berkhidmat untuk komuniti setempat selama beberapa dekad, dan tugas ini tentunya ada cabarannya yang tersendiri.

“Pada tahun 2008, saya sedang berkhidmat di dalam suatu projek pengurusan air yang diuruskan oleh komuniti di Timur Samar, Filipina. Komuniti ini terkenal dengan pertikaian yang sering kali berlaku dalam kalangan penduduk tempatan berkenaan akses terhadap bekalain air.

“Air yang datangnya dari gua berhampiran, tidak diagihkan dengan adil kepada semua isi rumah: sesetengah keluarga perlu mengambil air dari paip awam manakala sesetengah keluarga pula sudah memiliki sambungan paip dari dalam rumah mereka. 

“Jadi, untuk membantu komuniti ini memiliki sistem bekalan air yang lebih mampan dan saksama kepada semua ahlinya, mereka dilibatkan dalam setiap aspek pembangunan dan perlaksanaan sistem.

“Setelah menghadiri latihan pembinaan kapasiti untuk ahli persatuan pengurusan air, komuniti ini telah bersetuju bahawa kesemua isi rumah yang mempunyai sambungan paip persendirian dalam rumah mereka, perlu memasang meter untuk merekodkan penggunaan air. Jika tidak, sambungan paip ini akan dipotong.

“Salah seorang ahli komuniti ini gagal memahami bagaimana sistem baru ini akan memberikan faedah kepadanya dan seluruh komuniti. Jadi dia telah bertindak amarah dengan mengancam untuk mencederakan saya dengan bolo [pisau tempatan] yang besar dan tajam.

“Saya mungkin sudah lemah semangat pada waktu itu, kerana keselamatan saya terancam, namun saya tahu, dia sebenarnya perlu dibantu untuk memahami manfaat sebenar sistem begitu.

“Jadi dengan bantuan pegawai tempatan, kami berusaha sedaya upaya kami untuk menerangkan bagaimana sistem baru ini boleh membantunya sekeluarga dan juga ahli komuniti yang lain pada jangka masa lebih panjang.

“Akan sentiasa wujud kelompok dalam komuniti yang berasa terjejas dengan apa yang kita sasarkan atau rancangkan dalam bantuan kita kepada mereka. Namun, petugas kemanusiaan seperti kita tidak seharusnya mudah mengalah, sebaliknya terus istiqamah dalam membantu komuniti memahami bagaimana inisiatif yang kita laksanakan boleh meningkatkan kualiti kehidupan mereka. “