Hujan monsun lebat telah mencetuskan banjir besar-besaran di Bangladesh.

Setakat 3 Ogos 2016, 3.2 juta penduduk di 16 daerah telah terjejas teruk akibat banjir besar-besaran, dengan 42 kematian telah disahkan.

Paras air sungai yang meningkat telah memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka. 250,000 rumah telah dilaporkan musnah atau rosak akibat banjir, selain kejadian tanah runtuh dan kakisan dasar sungai. Hanya 7,400 orang berjaya mendapatkan perlindungan di 69 pusat perlindungan banjir di seluruh negara, dan hampir 300, 000 lagi telah terkandas di daerah Shariatpur dan Faridpur.

Tahun ini, negara-negara di Selatan Asia mengalami hujan lebat sewaktu musim monsun tahunan, termasuklah India dan Nepal. Banjir di Bangladesh, yang telah bermula pada Julai lalu, adalah disebabkan oleh hujan lebat di bahagian utara negara tersebut, dengan kadar hujan lebat 13% lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Air sungai yang melimpah telah memusnahkan infrastruktur, jalan dan rangkaian rel keretapi telah terjejas teruk. Bagi keluarga yang terpaksa hidup di kawasan terbuka, air banjir ini mendatangkan bahaya penyakit bawaan air. Peniaian awal telah mencadangkan terdapatnya keperluan mendesak untuk pusat perlindungan, air yang bersih, bekalan makanan dan ubat-ubatan serta bahan bakar.

Dengan wujudnya operasi kami di bandar-badar besar di serata Bangladesh, pasukan Islamic Relief telah pun memulakan penyaluran bantuan kepada kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas, termasuk Jamalpur dan Kurigram. Fasa pertama bantuan disasarkan kepada 12,000 penerima manfaat, termasuklah bantuan pek makanan yang mengandungi beras, lentil, minyak masak, gula dan garam. Peringkat seterusnya disasarkan untuk meliputi pengagihan lebih banyak pek makanan serta pek penjagaan kebersihan.

Hujan dijangka akan terus turun, dan situasi di Bangladesh kini semakin buruk dari hari ke hari.

Islamic Relief telah berkhidmat untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan melaksanakan projek pembangunan di Bangladesh sejak 1991.