Risiko Kebuluran Ancam Penduduk Nigeria

NIGERIA, 3 Ogos 2021 – Seramai 4.4 juta penduduk di timur laut Nigeria melibatkan wilayah Borno, Adamawa dan Yobo sedang berdepan ancaman kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.

Kira-kira 800,000 orang kini berada dalam krisis atau kecemasan kebuluran tahap empat manakala 12.2 juta lagi penduduk di seluruh Nigeria tergolong dalam tahap ketiga.

Seramai 300,000 kanak-kanak dilaporkan menghadapi masalah kekurangan zat makanan.

Konflik bersenjata di negara itu telah menyebabkan 1.75 juta orang melarikan diri ke kem atau pusat tumpangan di Nigeria manakala puluhan ribu lagi terpaksa mencari perlindungan di negara jiran.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Yobe Tengah dan Utara serta Borno Utara dan Timur.

Di Borno sahaja, terdapat 81 peratus pelarian dalam negara tinggal berlindung di sana.

Dijangkakan, masalah kekurangan makanan dan nutrisi ini akan menjadi lebih kritikal dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Keadaan ini boleh mengakibatkan peningkatan jumlah penyakit bawaan air seperti diarea, malaria dan demam campak.

Selain masalah kebuluran, antara isu lain yang perlu diberi perhatian khusus ialah masalah kekurangan sumber air, sanitasi dan kebersihan (WASH), bantuan perlindungan dan keganasan berasaskan jantina (GBV).

Islamic Relief kini sedang merangka pelan bantuan untuk membantu penduduk terjejas dengan kerjasama rakan kemanusiaan yang sudah melaksanakan program bantuan makanan di Nigeria.

Gerak kerja akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat.