28.5 Juta Penduduk Ethiopia Perlu Bantuan Kemanusiaan

Ethiopia, 6 Ogos 2021 – Seramai 28.5 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di Ethiopia manakala di wilayah Tigray sahaja angka penduduk terjejas telah meningkat daripada 4.5 juta kepada 5.2 juta orang.

Hal ini berikutan konflik berpanjangan di wilayah Tigray, Wollega dan Benishagul selain isu serangan haiwan perosak, bencana alam seperti banjir dan kemarau serta kesan sosioekonomi impak pandemik COVID-19.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), laluan masuk ke wilayah Tigray sudah bertambah baik selepas pengisytiharan gencatan senjata diumumkan.

Bagaimanapun, kerja-kerja penghantaran bantuan kemanusiaan masih tidak dapat dilaksanakan secara meluas ekoran kekurangan sumber bekalan petrol, wang tunai dan barangan keperluan lain.

Lebih 200 trak yang membawa bekalan bantuan untuk penduduk terjejas di Tigray kini masih terkandas di Afar ekoran pertembungan antara-puak-puak bertelagah sudah merebak ke wilayah itu sejak lebih dua minggu lalu.

Semua penerbangan ke wilayah Semara-Afar turut dihentikan sejak 17 Julai.

Seramai 69,000 penduduk wilayah Afar menjadi pelarian dalam negara dan ada yang terpaksa melarikan diri dan berlindung di bandar Semara dan Lagia.

Setakat ini, Islamic Relief Ethiopia telah mengedarkan bantuan makanan kepada 670 keluarga dan bantuan barangan bukan makanan (NFI) antaranya selimut, kelambu, plastik penebat haba, alatan memasak, kit kebersihan dan perlindungan kepada 360 keluarga di Yallow Woreda, Afar.

Islamic Relief sedang merangka pelan untuk membina pusat operasi sementara di Mekella bagi melancarkan proses penyaluran bantuan kepada lebih 18,000 penduduk terjejas.