“Pusat pembedahan jantung Islamic Relief di Syria menyelamatkan nyawa saya…”

Krisis di Syria kini memasuki tahun ke 11. Dalam tempoh lebih sedekad ini, banyak pusat kesihatan di negara itu telah musnah. Namun, dengan sokongan anda semua, Islamic Relief berjaya memastikan mereka yang memerlukan di Syria mendapat akses kepada rawatan perubatan bagi menyelamatkan nyawa dan mengubah hidup mereka.

Antara individu yang telah mendapat manfaat daripada bantuan ini ialah Ahmed. Ahmed berumur 58 tahun dan tinggal bersendirian selepas keluarganya melarikan diri dan meninggalkan kediaman mereka di Kafranbel, Maarat Al-Numan.

Suatu hari, Ahmed merasa sesak nafas dan sakit yang kuat di bahagian dadanya.

“Saya mula terfikir, adakah saya akan mati diserang penyakit jantung? Saya berdoa kepada Allah agar nyawa saya diselamatkan,” kata Ahmed.

Keesokan harinya, Ahmed menunggu kehadiran anaknya untuk membawa dia ke hospital di Idlib. Ketika di hospital, Doktor memaklumkan bahawa Ahmed perlu menjalani pembedahan jantung dengan segera dan kos pembedahan itu menelan belanja lebih 2 ribu dolar USD.

Nasib Ahmed baik, ada sebuah pertubuhan kebajikan telah membiayai kos rawatan pembedahannya, tetapi prosedur pembedahan itu gagal. Seterusnya, Ahmed disaran untuk pergi ke Turki bagi mendapatkan rawatan, namun ia agak mustahil untuk Ahmed memandangkan dia berseorangan selain menghadapi kesukaran dari sudut kos perbelanjaan

Pusat Pembedahan Jantung Islamic Relief di Utara Syria

Operasi pembedahan jantung termasuk pembedahan saraf dan vaskular adalah antara rawatan yang sangat diperlukan di utara Syria. Hal ini kerana pembedahannya tidak disediakan di hospital atau kemudahan kesihatan bergerak tanpa tenaga pakar khusus dan alatan perubatan yang mahal.

Dua tahun lalu, Islamic Relief telah membiayai penubuhan pusat pembedahan jantung di Idlib. Ia merupakan satu-satunya pusat rawatan pakar bagi pembedahan jantung di utara Syria yang memberi rawatan kepada pesakit yang terpaksa melalui perjalanan merbahaya ke negara luar untuk mendapatkan rawatan atau pesakit yang tidak mendapat rawatan sepatutnya hingga boleh membawa kepada kematian.

Dr Farouk Al-Mohammed merupakan pakar kardiologi yang bekerja di pusat pembedahan jantung ini dan telah berjaya melaksanakan pembedahan pertama di pusat tersebut menerusi rawatan pintasan pembuluh darah koronari pada Oktober 2020. Dahulu, pembedahan seperti itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan di utara Syria.

“Proses untuk menubuhkan pusat ini sangat mencabar kerana situasi semasa di Syria yang teruk, dengan keadaan dikepung tanpa bekalan elektrik, telekomunikasi dan keupayaan yang terhad,” kata Dr Farouk.

Dalam keadaan konflik yang berterusan serta suasana kerja yang mencabar, lebih 100 pembedahan jantung terbuka telah berjaya dilaksanakan di pusat itu bagi membantu golongan dewasa dan kanak-kanak menerusi rawatan pintasan pembuluh darah koronari, penggantian injap jantung dan membaiki kecacatan jantung yang wujud sejak lahir.

Talian Hayat di Utara Syria

Setibanya Ahmed di pusat pembedahan jantung Islamic Relief di utara Syria, dia telah diperiksa oleh doktor pakar. Tiga daripada saluran darah Ahmed didapati telah tertutup sepenuhnya, manakala satu lagi saluran tertutup sebahagiannya. Para doktor di hospital itu sangat terkejut kerana Ahmed masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa, meskipun keadaaan jantungnya berada di tahap kritikal.

Kebiasaannya, kos bagi rawatan pembedahan untuk pesakit seperti Ahmed memerlukan belanja lebih 6,000 dolar USD di hospital swasta, tetapi Ahmed mendapat rawatan pembedahan secara percuma di pusat pembiayaan Islamic Relief itu.

Kini, kesihatannya sudah bertambah baik, dan dia mampu berjalan ke pasar setiap hari serta berjalan dalam jarak yang jauh tanpa mudah merasa penat seperti sebelum ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada kakitangan perubatan yang telah merawat saya dan saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan yang baik kepada saya. Saya berharap, pada tahun 2022 ini, kami dapat mengecapi nikmat kedamaian dan kami dapat kembali ke rumah kami serta menjalani kehidupan yang bahagia,” kata Ahmed.

Teruskan Menyokong Pakar Perubatan Syria Yang Sangat Berdedikasi Dalam Usaha Menyelamat Dan Mengubah Kehidupan Mereka Yang Memerlukan

Permintaan untuk perkhidmatan rawatan pakar di pusat pembedahan jantung Islamic Relief di utara Syria terus meningkat. Setiap minggu, 10 pesakit akan mendaftar untuk menjalani prosedur pembedahan.

Tanpa komitmen kakitangan perubatan yang berdedikasi dan tajaan daripada Islamic Relief, jutaan penduduk Syria pasti kehilangan akses untuk mendapatkan rawatan pembedahan jantung yang kritikal.

Dengan sokongan anda, Islamic Relief akan terus berada di sisi kakitangan perubatan yang terpaksa bertugas dalam ketegangan situasi semasa, serta impak konflik yang berpanjangan.

Bersama, kita mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa mereka yang memerlukan.

“Selepas 11 tahun krisis di Syria, banyak nyawa telah terkorban dan banyak hospital serta infrastruktur telah musnah, tetapi kami tidak akan putus asa, rakyat Syria mampu bangkit,” kata Dr Farouk.

Teruskan menyumbang kepada Islamic Relief.  Sumbangan anda dapat membantu kami untuk terus membiayai rawatan perubatan bagi menyelamatkan nyawa dan mengubah hidup rakyat Syria.

Jom sokong usaha para doktor yang berdedikasi di Syria. Hulurkan sumbangan kepada tabung Selamatkan Syria sekarang.