Maybank Islamic Sumbang Baucar Wang Tunai Kepada Penduduk Terjejas Banjir di Segamat

SEGAMAT, 21 Mac 2022 – Seramai 126 orang penduduk Kampung Spang Loi dan Kampung Padang Kiambang yang terjejas banjir akibat ban Sungai Muar di Kampung Spang Loi pecah penghujung tahun lalu, telah menerima bantuan baucar wang tunai tajaan Maybank Islamic di surau Kg. Jawa, Buloh Kasap, Segamat, Johor.

Sumbangan yang diberikan itu bertujuan untuk meringankan beban penduduk terjejas, selain memberi fleksibiliti kepada mereka dalam membeli barangan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing.

“Memandangkan kawasan ini antara yang paling teruk terjejas, Islamic Relief Malaysia menyarankan kepada pihak penaja untuk menyalurkan bantuan pasca banjir di sini. Para penerima manfaat yang dipilih juga antara yang terjejas kewangan akibat pandemik COVID-19 selain hasil tanaman yang menjadi mata pencarian mereka turut musnah dalam banjir.

“Setiap keluarga yang menerima sumbangan hari ini boleh menggunakan baucar wang tunai yang diberikan di pasaraya Nirwana Maju berdekatan tempat tinggal mereka dan boleh ditebus dalam tempoh setahun dari tarikh penerimaan,” kata Fa’azurah Kadir, Pengurus Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Para penerima manfaat dan juga ketua kampung di kedua-dua lokasi bantuan menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Saya sangat bersyukur dan gembira atas bantuan yang diberikan. Terima kasih Maybank Islamic dan Islamic Relief Malaysia atas sumbangan ini. Ringan beban kami kerana banyak lagi keperluan persekolahan yang masih belum dibeli dan dapatlah juga kami membeli keperluan asas untuk menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi,” kata Norizan Robani, penerima manfaat Kampung Spang Loi.