Pusat Aktiviti Wanita Kelolaan Islamic Relief Iraq Aktif Tangani Isu Keganasan Terhadap Wanita

Beberapa Pusat Aktiviti Wanita yang dikendalikan oleh Islamic Relief di Iraq aktif menangani isu keganasan seksual dan keganasan berasaskan gender (GBV) melalui pelbagai siri aktiviti.

Pusat aktiviti ini menjadi komponen utama dalam membantu mereka yang terselamat daripada isu keganasan dengan menawarkan ruang serta bantuan perlindungan yang sangat diperlukan oleh golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Antara program yang telah dijalankan Islamic Relief adalah bengkel kesedaran sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Seksual dalam Konflik dengan meletak sasaran untuk menghentikan keganasan dan membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Program yang diadakan di Baghdad, Anbar dan Kirkuk ini disertai oleh komuniti yang mempunyai risiko tinggi terhadap keganasan berasaskan gender dan dilaksanakan oleh kakitangan Islamic Relief yang sangat berdedikasi dalam memperjuangkan hak-hak wanita.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Hal Ehwal Global Kanada (GAC) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Kesemua peserta diberi peluang untuk mendapatkan khidmat kaunseling, mengakses info, menerima ‘dignity kit’, dan diberi latihan berkaitan kelangsungan hidup dan pertolongan cemas.

Menerusi program ini, Islamic Relief juga bekerjasama dengan golongan agamawan untuk menggalakkan mereka bersuara bagi menentang keganasan berasaskan gender dan melibatkan sukarelawan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan muda.