IRM, Mahasiswa Pergigian Universiti Al-Azhar Santuni Pelajar RISE

KAJANG, 14 Sept – Seramai 38 pelajar Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) berumur dari 6 hingga 16 tahun menyertai program pemeriksaan gigi secara percuma anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama kumpulan mahasiswa tahun akhir jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Mesir dan pihak pengurusan RISE.

Objektif program tersebut dijalankan adalah bagi memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para pelajar disamping meningkatkan kesedaran akan kepentingan penjagaan gigi.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaaan gigi bersama konsultasi menggunakan alatan yang ditaja oleh Klinik TTDI Grove, demonstrasi cara memberus gigi dengan betul diikuti latihan amali seterusnya taklimat dan penerangan mengenai kepentingan menjaga kebersihan gigi serta kesan mengabaikannya.

IRM berharap pada masa akan datang, ada lebih banyak lagi kumpulan mahasiswa, tenaga pakar atau organisasi lain turut serta bersama IRM memperkasa komuniti ke arah mewujudkan dunia prihatin.
RISE merupakan salah satu pusat bimbingan alternatif yang ditubuhkan IRM pada tahun 2017 untuk membantu anak-anak pelarian khususnya pelarian Rohingya mendapat pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira.