Penilaian lanjut berikutan kebakaran di kem pelarian Moria

GREECE, 24 September 2020 – Agensi Pengurusan Bencana Negara mengarahkan seorang kakitangan ke Lesvos untuk melakukan penilaian keperluan berikutan kebakaran yang berlaku di kem Moria.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), seramai 9,100 orang telah berpindah ke kawasan pemindahan Kara Tepe yang baharu apabila kira-kira 13,000 orang kehilangan tempat perlindungan selepas kebakaran kem pelarian Moria yang sepatutnya hanya menempatkan seramai 2,750 orang.

Sebilangan orang kembali ke kem Moria untuk menyelamatkan barang-barang terutamanya barangan bukan makanan (NFI) dan alat perkakas rumah.

Penempatan baharu yang berhampiran dengan laut mendedahkan mereka kepada risiko banjir dan angin kencang.

Banyak kemudahan termasuk pusat pendaftaran pengenalan diri, pusat suaka, dan Unit Rawatan Rapi telah musnah atau mengalami kerosakan serius.

Kebakaran berlaku ekoran tunjuk perasaan membantah tindakan kuarantin yang dikenakan selepas 35 kes Covid-19 disahkan minggu lalu.

Pihak berkuasa mengisytiharkan darurat selama empat bulan berikutan isu kesihatan orang awam.

Bantuan kecemasan, makanan, air, dan NFI telah disalurkan.

Keperluan mendesak ketika ini adalah sokongan perundangan, psikososial, dan kesihatan mental kepada mereka yang terjejas berikutan tekanan kesan daripada insiden tersebut.

UNHCR, Tentera Greek, rakan pelaksana, dan organisasi tempatan turut tampil memberikan bantuan.

Islamic Relief sedang bekerjasama rapat dengan organisasi lain yang kini berada di Greece untuk menyalurkan bantuan.