Nebras Elhelow: Sebuah penghormatan kepada wira Islamic Relief

Setahun yang lalu, pada 31 Ogos 2015, Islamic Relief telah kehilangan sebutir permata perjuangan. Nebras Elhelow, seorang anak muda sukarelawan Syria yang telah mempertaruhkan nyawanya setiap hari untuk menyampaikan bantuan, akhirnya telah tewas pada usia 27 tahun setelah kedua kakinya dipotong akibat kecederaan parah yang berpunca daripada sebuah serangan udara.

Nama beliau “Nebras” bermaksud “contoh ikutan” – sungguh tepat untuk menggambarkan keperibadiannya. Beliau akan terus kekal dalam ingatan kami kerana peribadinya yang hebat- bertenaga, tidak mementingkan diri sendiri dan berani berkorban untuk golongan yang beliau kasihi dalam keadaan konflik tidak berperikemanusiaan yang tidak henti-henti ini.

Khidmatnya telah menjadi penyambung nyawa bagi mereka yang memerlukan bantuan, tetapi ia juga adalah sesuatu yang telah menelan nyawanya.

 

Baca kisah penuh inspirasi wira kemanusiaan kami di sini.

 

Kisah kehidupan dan kematian Nebras harus diceritakan, bukan sahaja untuk mengingati beliau semasa hayatnya, tetapi juga untuk memberi peringatan kepada kita semua tentang kesan buruk yang terbit daripada krisis Syria ini ke atas penduduk setempat – dan kepentingan diplomatik untuk melakukan sedaya upaya kita semua untuk menyelesaikan situasi yang telah menjadi malapetaka kemanusiaan terburuk dalam sejarah kita.

Islamic Relief kini bekerja lebih gigih untuk membantu mereka yang dilanda kesusahan, terkepung di dalam Syrian dan juga mereka yang kini terpaksa berlindung di negara-negara jiran sebagai pelarian.

Jutaan terima kasih kami kepada kemurahan hati penduduk Britain dan ramai lagi di segenap dunia. Bantuan terkumpul sebanyak £140 juta yang anda semua hulurkan ini telah membolehkan kami membantu lebih 6.5 juta penduduk Syria sejak konflik ini tercetus.

 

Nebras-IR-food-and-shelter-768x512

Sebelum krisis Syria meletus, Nebras hampir melengkapkan pengajian universitinya, dan sedang bercita-cita untuk terjun dalam bidang kerjaya impiannya.

Namun, pengajiannya terhenti apabila krisis bermula pada tahun 2011, dan siswazah ini telah menjadi seorang sukarelawan petugas bantuan yang amat berdedikasi. Beliau telah banyak menggerakkan kerja-kerja penyaluran bantuan di wilayah kediamannya, di utara Hama.

Pada awalnya, beliau telah bersukarela untuk memastikan kedai roti tempatan di kawasannya terus beroperasi, apabila pekerja-pekerja kedai tersebut telah lari untuk menyelamatkan diri. Nebras kemudiannya terpaksa meninggalkan pekan tersebut apabila kejadian serangan udara semakin kerap, dan telah menyelamatkan diri beliau di sebuah perkampungan di kawasan Idlib dan tinggal di sebuah bilik kecil di dalam sebuah rumah terbengkalai.

Pada tahun 2014, Nebras telah berkahwin dan tinggal bersama isterinya di dalam bilik tersebut, sambil berkhidmat kepada para keluarga yang telah tersingkir akibat krisis ini. Beliau bekerja pada waktu malam untuk sebuah projek pembinaan tempatan dan kedai roti supaya beliau boleh berkhidmat sebagai sukarelawan pada waktu siangnya.

Beberapa bulan sebelum Nebras meninggal dunia, isterinya telah melahirkan seorang cahaya mata perempuan. Malangnya, bayi ini hanya sempat hidup selama tiga minggu. Bayi ini telah diserang penyakit yang tidak dapat diubati dengan baik di kawasan yang hampir tiada langsung perkhidmatan kesihatan akibat peperangan.

Nebras berhasrat untuk disemadikan di pekan kelahirannya, namun perkara ini tidak dapat direalisasikan – pekannya terkepung dan beliau akhirnya disemadikan di sebuah perkampungan berhampiran.

Telah setahun berlalu, dan khidmat mulia yang telah dicurahkan oleh Nebras menerusi Islamic Relief, akan terus dikenang dan diteruskan selagi krisis ini masih berlaku- dengan segala kerendahan hati, dan rasa hormat yang tidak terhingga kepada mereka yang telah mempertaruhkan nyawa membantu mereka yang memerlukan.