Lebih 800 terkorban di Timur Ghouta

Timur Ghouta, 7 Mac 2018 – Lebih 800 kematian dicatatkan setakat hari ini di Timur Ghouta termasuklah sekurang-kurangnya 173 kanak-kanak dan 106 wanita sejak operasi tentera rejim Syria 18 Februari lalu.

Pada 5 Mac lalu, angka kematian bertambah sebanyak 94 sementara 300 lagi dilaporkan tercedera. Sekurang-kurangnya 3,900 tercedera termasuklah kanak-kanak dan wanita yang melibatkan pelbagai tahap kecederaan.

Konvoi awal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut tiba di Timur Ghouta melibatkan 46 buah lori yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Bagaimanapun, konvoi itu dikerah untuk menghentikan misinya dan dibiarkan hampir sembilan jam ketika serangan masih lagi berlaku. PBB turut melaporkan sebanyak 10 buah lori tidak dapat dikosongkan.

Lebih 30 mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas dalam serangan yang dilepaskan di tengah malam itu dengan letupan yang mengandungi gas klorin.