Islamic Relief Rangka Bantuan Santuni Pelarian Mali

MALI, 29 Januari 2021 – Pertembungan diantara puak-puak bersenjata terus mencetuskan ketegangan di Mali seterusnya mengakibatkan ratusan penduduk wilayah Haribomo dan Gossi terpaksa melarikan diri.

Meskipun konflik ini tercetus sejak Disember 2020, namun gerak kerja penilaian keperluan semasa masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan terdapat kekangan akses ke kawasan terlibat.

Antara keperluan utama yang telah dikenalpasti ialah makanan, tempat tinggal, air, sanitasi & kebersihan (WASH) dan barangan bukan makanan (NFI).

Islamic Relief Mali kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan organisasi lain seperti Program Makanan Sedunia (WFP) untuk membantu penduduk terjejas.

Islamic Relief sedang merangka untuk membekalkan bantuan makanan dan perlindungan kepada lebih 600 penduduk di Haribomo manakala di Gossi pula melibatkan bantuan WASH yang akan memberi manfaat kepada lebih 700 orang.