• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
IRM Hargai Jasa Sukarelawan Kemanusiaan

Bandar Baru Bangi, 28 Jan 2019 – 93 sukarelawan kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) daripada pelbagai latar belakang diraikan menerusi Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 di Bangi Golf Resort atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan dunia kemanusiaan bersepadu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata program itu diwujudkan bagi mengikftiraf usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para sukarelawan dalam membangunkan aktiviti kemanusiaan sekaligus melahirkan dunia prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan sama ada di dalam atau luar negara.

 

“Kami mengiktiraf semua sukarelawan yang mempunyai potensi dan terlibat secara aktif dalam setiap program IRM. Menerusi Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 ini, kami ingin menghadiahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menghormati kesetiaan serta kesungguhan mereka dalam berkhidmat kepada para penerima manfaat kami,” jelas Zairulshahfuddin ketika berucap.

 

Tambahnya, “Selain itu, Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 yang dikendalikan oleh Unit Pembangunan Sukarelawan IRM juga adalah tanda penghormatan dalam mengingati Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember.”

 

Fokus program ini dijalankan adalah untuk menghebahkan setiap aktiviti kemanusiaan IRM agar lebih ramai sukarelawan tertarik dalam menggembleng tenaga ke arah pembangunan sukarelawan yang lebih bersepadu di samping merapatkan hubungan kekeluargaan antara para sukarelawan dan IRM.

 

Selain itu, program yang meraikan barisan para sukarelawan itu turut mendapat sokongan daripada Ikon Kemanusiaan IRM iaitu Kumpulan Saujana, Dr. Aizan Sofia Amin, Ashraf Muslim, dan Irma Hasmie.

 

Menurut Suffian Amrin daripada Kumpulan Saujana, “Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 merupakan program yang sangat bagus memandangkan ia mengumpulkan semua sukarelawan yang pernah berkhidmat kepada IRM dan juga yang baru untuk kita perkenalkan pada dunia kesukarelawanan sebenar.”

 

Ashraf Muslim juga tidak terlepas melontarkan pandangannya mengenai program tersebut. “Saya percaya program ini adalah penghargaan terbaik untuk dihadiahkan kepada semua sukarelawan yang berkhidmat untuk IRM setelah mengharungi penat lelah dalam program-program yang dianjurkan oleh IRM sendiri.”

 

Tahun lalu, IRM telah menjalankan sebanyak 32 program melibatkan sukarelawan. Melaluinya, seramai 839 individu kini sah menjadi sukarelawan IRM, 195 daripadanya telah menjalani Kursus Induksi Sukarelawan IRM, manakala 558 sukarelawan lagi terlibat dalam program IRM secara tidak langsung. Sehingga hari ini, IRM mempunyai lebih daripada 3,000 sukarelawan berdaftar di Malaysia yang bersedia untuk berkhidmat dalam dunia kemanusiaan.