• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
Farah Serasi Bersama Orang Asli

Jauh di pelosok hutan, terdiamnya komuniti yang begitu jarang melihat dunia luar. Apakah komuniti itu? Orang Asli. Di Semenanjung Malaysia, komuniti Orang Asli boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Semang, Senoi, dan Melayu Proto. Jika dikaji secara menyeluruh, kehidupan Orang Asli sebenarnya begitu unik. Farah Amirah Sarifuddin, seorang kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM) mempunyai pengalaman berharga sepanjang keberadaannya di Perkampungan Orang Asli di Buluh Nipis, Pahang.

 

Sama seperti masyarakat umum, Orang Asli juga mempunyai institusi keluarga dan masyarakat tersendiri. Mereka juga diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak lain yang ke sekolah. Seperti di kampung-kampung, komuniti Orang Asli turut mempunyai ketua yang perlu ditaati. Selain itu, mereka juga bekerja, beragama, mempunyai persatuan, dan juga bersukan. Apa yang membezakan hanyalah kediaman mereka yang jauh di pedalaman, tidak diketahui orang ramai.

 

Kampung Buluh Nipis terletak di Muadzam Shah, Pahang, sekitar 26 Kilometer dari kawasan bandar. Menurut Farah, beliau berada di perkampungan Orang Asli itu atas kapasiti untuk menjalankan projek Pembangunan Komuniti Islamic Relief Malaysia (IRM) yang menekankan beberapa tumpuan sektor seperti pendidikan, infrastruktur, kesihatan, dan kehidupan mampan.

 

Sungguhpun demikian, keberadaan Farah di kampung itu bukanlah semata-mata atas tuntutan pekerjaan. Banyak perkara yang dilalui untuk memperhalusi setiap ragam Orang Asli. “Saya mengambil keputusan untuk menetap dalam kampung itu pada fasa awal. Alhamdulillah, mereka begitu mesra dan selesa dengan saya.

 

“Sebenarnya beberapa minggu berada di sana tidak cukup untuk membina hubungan baik dengan komuniti orang asli, malah di mana-mana tempat sekali pun. Namun apa yang saya dapati, apabila kita dekati komuniti ini, mereka sama sahaja seperti kita dan melayan kita sama seperti mereka malah sangat mengalu-alukan kehadiran kita.”

 

Disoal mengenai keunikan Orang Asli, Farah berpendapat bahawa tahap survival mereka begitu tinggi di samping mempunyai daya kreatif yang hebat. “Mereka bijak mencipta, membina, mereka dan mengaplikasikan apa-apa yang ada di sekitar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Paling jelas yang pernah saya lihat ketika berada di kampung mereka ialah keunikan seni bina rumah. Ia berdindingkan buluh dan beratapkan nipah. Selain itu, saya juga pernah melihat murid mencipta replika permainan bom menggunakan lidi dan kertas.”

 

Meskipun Orang Asli tidak berkemampuan untuk membeli barang sendiri, malah makanan seharian juga belum pasti, faktor-faktor kekangan itulah yang meningkatkan tahap survival mereka dan jauh lebih hebat daripada kelompok manusia yang menetap di kawasan bandar. Di samping itu, jauh daripada kemajuan juga memperkasakan daya imaginasi dan kreativiti mereka di tahap yang jarang-jarang penduduk di bandar ada.

 

Antara pengalaman indah Farah bersama Orang Asli adalah penghargaan yang diterima oleh komuniti itu sendiri. “Saya cukup terharu apabila anak-anak dan ibu di kampung itu mengingati saya. Di mana saya pergi, mereka pasti akan jerit dan memanggil nama saya. Cara mereka menghargai saya dengan menunggu-nunggu kehadiran saya ke kampung, merupakan kepuasan untuk saya bersama mereka,” Ujar Farah ringkas.

 

Cabaran di komuniti asing itu lain pula ceritanya. Berdasarkan pemerhatian Farah, masyarakat Orang Asli kurang terdedah dengan arus kemajuan teknologi dan peredaran zaman. Mereka tidak kenal dunia luar. Ia sekaligus membuatkan mereka tidak berfikiran jauh untuk meneroka dunia luar. Dalam hal akademik pula, tahap pencapaian murid-murid begitu rendah kerana mereka sukar mengejar silibus yang telah ditetapkan.

 

Situasi ini disebabkan cara hidup mereka yang jauh berbeza daripada masyarakat luar. Tambahan pula, kita juga dilarang bersikap lagak tahu dan ingin membuat perubahan drastik dalam komuniti Orang Asli kerana mereka tidak mahu identiti dan rutin mereka diganggu oleh pihak luar. Sebaiknya, ambil masa untuk fahami lokaliti komuniti tersebut sebelum meraih kepercayaan mereka.

 

Bagi Farah, banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada komuniti Orang Asli kerana ia secara tidak langsung memberi gambaran jelas bahawa cabaran hidup yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli perlu dijadikan contoh untuk kita terus bersyukur dengan nikmat yang dirasai pada hari ini.