Bencana banjir di Sudan

SUDAN, 1 Oktober 2020 – Bencana banjir berikutan hujan lebat sejak pertengahan Julai telah mengakibatkan jumlah kematian meningkat kepada lebih 120 orang, menjejaskan lebih 830,000 yang lain, dan menyebabkan beberapa infrastruktur mengalami kerosakan teruk.

Hujan lebat telah menjejaskan 18 daerah termasuk Timur, Utara, dan Barat Sudan, menyebabkan paras air Sungai Nile melimpah sehingga mencetuskan banjir dan tanah runtuh.

Pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di seluruh negara dan meminta bantuan antarabangsa selain mengumumkan bahawa jumlah kematian akibat banjir telah meningkat kepada 128 orang sejak Jun yang lalu.

Badan kemanusiaan di Sudan telah menyalurkan bantuan kepada lebih 350,000 orang dalam operasi menyelamat berikutan banjir terburuk dalam tempoh tiga dekad yang mengakibatkan banyak kemusnahan.

Hampir 16,000 kemudahan tandas musnah, akses air kepada lebih 100,000 orang di Blue Nile terhalang ekoran runtuhan Bout Dam, dan ribuan tanah pertanian telah musnah dan menjejaskan aktiviti penuaian dan bekalan makanan kepada ribuan keluarga.

Islamic Relief kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja disamping meneruskan agihan barangan bukan makanan dan kit kebersihan kepada keluarga yang terjejas sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.