Beirut Perlu Bantuan Segera

BEIRUT, 8 September 2020 – Beirut, Lubnan memerlukan masa yang panjang dan bantuan segera untuk kembali pulih selepas sebulan insiden letupan yang dahsyat melanda ibu negara tersebut.

Setakat 6 September, terdapat 20,426 kes Covid-19 direkodkan di seluruh Lubnan yang turut melibatkan 703 kakitangan hospital.

Keadaan di hospital juga dilaporkan sangat padat dengan peningkatan kes jangkitan wabak koronavirus.

Penduduk setempat kini berdepan kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan harian akibat gelombang keempat Covid-19 yang sedang dihadapi Lubnan dengan kewujudan pelbagai kluster jangkitan hingga mengakibatkan penularan wabak yang sangat meluas.

Menurut Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (UNESCWA), lebih daripada 50 peratus penduduk di negara itu bakal berdepan kekangan untuk mendapatkan keperluan makanan asas pada penghujung tahun ini.

Tragedi yang melanda bukan hanya meragut banyak nyawa malahan turut merosakkan sistem saliran air di 737 bangunan dan sistem air kumbahan di 470 bangunan.

Sebanyak 5,909 bumbung tangki penyimpanan air pula perlu dibaik pulih serta diganti.

Sehingga kini, Islamic Relief telah berjaya mengagihkan 3,577 pek makanan yang mampu bertahan selama sebulan kepada 17,885 individu.

Setiap pek makanan dilengkapi dengan bahan makanan asas seperti bijirin, beras, minyak sayuran, tepung, pes tomato, gula, bihun, dan banyak lagi.

Selain itu, terdapat 1,279 buah keluarga telah menerima kit kebersihan termasuk PPE dan dianggarkan kira-kira 10,000 individu mendapat manfaat daripada kerja-kerja pembersihan serpihan letupan yang dijalankan Islamic Relief di pelbagai kawasan.