Terap Budaya Ilmu

Serdang, 26 Jun 2018 – Seramai 55 warga Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi, pelajar Program Kelas Dewasa Asli Pribumi (KEDAP) dan guru-guru terlibat dalam lawatan di EduPark Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memperoleh ilmu dan pengalaman baharu.

 

Lawatan itu diadakan khas bagi komuniti Orang Asli untuk menghayati ilmu alam seperti sains, flora, dan fauna demi memantapkan minat mereka terhadap ilmu pengetahuan.

 

Program tersebut adalah gabungan kerjasama projek pembangunan komuniti yang dikelolakan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM.

 

Selain itu, ia juga merupakan inisiatif IRM dalam mendekatkan komuniti berkenaan dengan spesis haiwan dan pokok-pokok supaya mereka lebih memahami sejarah sainsnya.

 

Mereka turut didedahkan dengan warisan-warisan dan sejarah Melayu bagi mendalami budaya sekaligus mempelajari adat bangsa Melayu pada zaman dahulu agar mereka lebih mengenali susur galur bangsa Melayu itu sendiri.

 

Melalui program ini, IRM percaya bahawa ia mampu membina hubungan yang lebih akrab untuk mendalami kehidupan dan keperluan komuniti tersebut.