Gempa Bumi di Pakistan, Angka Kematian Semakin Meningkat

MIRPUR, 3 Oct. 2019– 39 terkorban manakala 746 lagi cedera ekoran kejadian gempa bumi susulan berukuran 4.4 magnitud yang melanda Daerah Mirpur pada 26 September lalu.

Menurut laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), kira-kira 1,691 kediaman musnah manakala 120 haiwan ternakan mati dengan 230 cedera selain berlaku retakan sepanjang 500 kaki di jalan utama negara itu.

Bencana yang berlaku turut menjejaskan infrastruktur air hingga mengakibatkan penduduk setempat terpaksa menggunakan air tercemar untuk kegunaan harian.

Keadaan ini dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya penularan wabak penyakit bawaan air atau denggi.

Berdasarkan penilaian yang dijalankan Islamic Relief (IR) Pakistan, keperluan utama yang diperlukan penduduk setempat ketika ini ialah bekalan minuman, bantuan perubatan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH).