Usaha Ke Arah Bumi Hijau

Bangi, 3 Mei 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) kini mengatur langkah baharu dalam sektornya melalui inisiatif hijau iaitu “Saving the Planet” di Borneo Malaysia, dan Indonesia.

 

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IRM, Prof. Dr. Azni Idris, “Kita juga perlu menyantuni kehidupan lain yang ada di bumi seperti pokok-pokok kerana ia juga merupakan sumber yang bermanfaat untuk semua manusia.”

 

Beliau menjelaskan melalui projek bumi hijau ini, ia akan memberi manfaat secara tidak langsung kepada semua kehidupan untuk jangka masa yang panjang.

 

“Walaupun hanya sebatang pokok, impaknya cukup besar dan mampu bertahan sehingga 30 hingga 40 tahun. Ini adalah ganjaran berterusan.

 

“Melalui projek ini, ia sekaligus dapat mengimbangi ekosistem dan biodiversiti haiwan,” katanya ketika sesi pembentangan bersama delegasi Islamic Relief dari United Kingdom.

 

Katanya, projek bumi hijau ini juga akan membawa perubahan kepada cuaca di seluruh negara memandangkan bumi kini mengalami struktur cuaca yang tidak sekata ekoran pelepasan gas karbon dioksida yang kian meningkat saban tahun.

 

Antara komponen “Saving the Planet” yang dibincangkan adalah untuk menggalakkan komuniti tempatan menanam pokok, menyediakan pendapatan kepada komuniti tempatan dengan tawaran kerja, pertumbuhan ekonomi penduduk, dan penyeliaan aktiviti penanaman.

 

Selain itu, projek berkenaan turut memberi fokus kepada orang asli, asnaf dan projek berasaskan agro-perhutanan.

 

Beliau juga menganggap IRM juga menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjaga kesejahteraan persekitaran dan masyarakat perlu berganding bahu bersama IRM bagi menjayakan program ini.